BN akan umum calon DUN Nenggiri lebih awal

BN akan umum calon DUN Nenggiri lebih awal

Biro politik Umno kenal pasti seorang daripada tiga calon yang disenarai pendek.

zahid
Nama calon yang dikenal pasti untuk PRK DUN Nenggiri diserah kepada Umno Kelantan, kata Presiden Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
KUALA NERUS:
Calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Nenggiri akan diumumkan lebih awal.

Presiden Umno, Zahid Hamidi, berkata biro politik mengenal pasti seorang daripada tiga calon yang disenarai pendek Umno Kelantan.

“Biro politik telah membuat keputusan dan kita menyerahkan nama kepada Ahmad Jazlan Yaakub (pengerusi Umno Kelantan) untuk membuat pengumuman awal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Kuala Nerus.

Sambil memberitahu calon yang dipilih merupakan seorang lelaki, Zahid berkata beliau menyerahkan kepada Ahmad untuk menentukan bila nama calon akan diumumkan.

Semalam, Ahmad berkata pihaknya bercadang untuk mengumumkan calon PRK DUN Nenggiri lebih awal bagi memberi ruang kepada calon untuk bertemu pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 17 Ogos, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi berkenaan kosong berkuat kuasa pada 19 Jun, berikutan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.