PM minta SKMM, polis tegas henti buli siber

PM minta SKMM, polis tegas henti buli siber

Fahmi Fadzil berkata Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan dan tidak puas hati terhadap perlakuan buli di alam siber.

fahmi
Fahmi Fadzil berkata beliau telah menghubungi TikTok supaya bertanggungjawab dalam isu buli siber.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta polis bertindak segera menghentikan buli siber yang dikaitkan dengan kematian pencipta kandungan TikTok dikenali Esha, minggu lalu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Anwar dalam mesyuarat Kabinet hari ini menyatakan kebimbangan dan tidak puas hati terhadap perlakuan buli di alam maya seumpama itu.

“Saya juga sudah hubungi TikTok, memaklumkan kepada mereka untuk bertanggungjawab (berhubung isu buli siber) dan bersedia memberikan kerjasama erat.

“Kami akan bertemu minggu depan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan juga mendakwa menteri juga menjadi mangsa buli siber namun tidak serius dan hanya membabitkan akaun palsu.

“Pandangan itu bukan tak serius, tetapi yang kita lihat isu berkaitan akaun palsu,” katanya yang turut menjelaskan pertemuan telah diadakan dengan pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Selain itu, wakil Kementerian Digital dan Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Peguam Negara serta Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Isu buli siber kembali hangat diperkatakan susulan kejadian menimpa Esha atau nama sebenarnya A Rajeswari.

Mayat pempengaruh wanita 29 tahun itu ditemui di rumahnya kira-kira 11 pagi, 5 Julai lalu.

Polis telah menahan dua suspek bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata semua kementerian telah diarahkan melakukan sesi libat urus menjelang pembentangan Belanjawan 2025 dijangka 18 Okt depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.