
Representasi itu, yang diserah pada Jun lepas, mengemukakan beberapa alasan termasuk keterangan saksi utama pendakwaan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli kepada mahkamah adalah bercanggah dengan keterangannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kes penipuan ahli perniagaan G Gnanaraja membabitkan RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.
Prosiding mencabar kredibiliti saksi itu bersambung 19 Julai ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Jan 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.