
Noh semalam membidas Puad yang menyifatkan alasan beliau menyertai Bersatu kerana simpati terhadap bekas presiden Umno, Najib Razak, sebagai ‘low class’.
Bekas ketua Umno Selangor itu membidas Puad supaya fokus sebagai speaker DUN Johor, dan tidak banyak mengeluarkan kenyataan politik jika ingin dipandang ‘high class’.
“Noh Omar lupa saya adalah ahli majlis kerja tertinggi Umno. Saya berhak bercakap dan tidak langgar Perlembagaan ataupun peraturan mesyuarat,” kata Puad kepada FMT, menambah Noh pernah menggalas portfolio menteri sambil menganggotai majlis tertinggi Umno.
Puad juga berkata dirinya profesional apabila menjalankan tugas speaker DUN Johor. “Saya tidak bercakap soal parti atau mengkritik parti lawan ketika bertugas sebagai Speaker dalam Dewan.”
Susulan penyertaan Noh ke dalam Bersatu pada 3 Julai lalu, Puad mendakwa Noh sengaja ‘menjual’ nama Najib untuk melompat parti, walaupun diketahui beliau bukan penyokong kuatnya.
Noh dipecat Umno tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada PRU15.
Beliau pernah menganggotai Jemaah Menteri di zaman pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, dan Ismail Sabri Yaakob.
Noh dalam wawancara FMT berkata beliau perlu mencari parti baharu untuk terus bergerak dalam politik.