
Dalam permohonan yang difailkan bulan lepas, keluarga itu meminta Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perakuan bawah Seksyen 33(1) Akta Prosiding Kerajaan 1956.
Mereka juga memohon kerajaan membayar faedah RM4.25 juta lagi, jumlah terakru sejak saman difailkan pada 2007, dan kos RM25,000, seperti yang dianugerahkan oleh hakim perbicaraan Vazeer Alam Mydin Meera pada 16 Dis 2022.
Permohonan itu disokong oleh afidavit yang ditandatangani peguam Sangeet Kaur Deo.
Sangeet berkata, kerajaan memfailkan afidavit awal bulan ini untuk menentang permohonan itu.
“Kerajaan juga memfailkan permohonan menggantung pelaksanaan penghakiman sehingga permohonan penguatkuasaan selesai,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pelaksanaan juga akan dimulakan terhadap Razak, yang tidak memohon penggantungan penghakiman.
Sangeet berkata, ibu bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, dan anaknya, Mungunshagai, memfailkan permohonan itu kerana tiada kemajuan dalam rundingan penyelesaian dengan Putrajaya berhubung pembayaran jumlah yang perlu dibayar mengikut penghakiman.
Kerajaan dan Razak, yang mengaku menjalinkan hubungan dengan Altantuya, telah membuat rayuan terhadap kuantum dan liabiliti. Sementara itu, keluarga Altantuya memfailkan rayuan balas untuk mendapatkan pampasan lebih tinggi.
Altantuya ditembak di kepala di sebuah hutan di Puncak Alam, sebelum mayatnya diletupkan, pada 2006.
Bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati atas pembunuhannya.
Razak, bekas pembantu kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul, tetapi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Sirul, yang dibebaskan daripada tahanan Imigresen di Australia pada November tahun lepas dan kini menetap di Canberra, dan Azilah, banduan akhir di Penjara Kajang, tidak mencabar saman keluarga itu.
Dalam penghakiman bertulisnya yang dikeluarkan minggu lepas, Vazeer berkata, beliau terpaksa membuat inferens bertentangan berhubung Razak selepas beliau memilih untuk tidak memberi keterangan secara bersumpah atau memanggil saksi dalam prosiding saman itu.
Vazeer berkata, Sirul dan Azilah juga mengaku kepada beberapa pegawai polis bahawa mereka telah menyebabkan kematian Altantuya dengan menembaknya menggunakan senjata api kemudian meletupkan mayatnya dengan bahan letupan gred tentera.
Beliau berkata, kelakuan Razak sebelum dan selepas kematian mangsa menimbulkan inferens yang tidak dapat ditolak bahawa dia bersubahat dengan anggota-anggota polis tersebut.
Katanya, Sirul dan Azilah tidak mempunyai alasan sendiri untuk membunuh Altantuya.