
Berdasarkan dokumen yang diperoleh media hari ini, Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu pada 2 dan 4 April selepas membenarkan permohonan Bina Pragmatik Sdn Bhd dan Cekap Air Sdn Bhd untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Jovian.
Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.
Tetuan Saiful, Roger & Co yang mewakili kedua-dua syarikat mengesahkan perkara itu.
Bagaimanapun, Jovian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 30 April lepas.
Beliau disaman secara berasingan oleh kedua-dua syarikat pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar persahabatan.
Pernyataan tuntutan menyatakan Jovian ialah kenalan kepada Pengarah Cekap Air Yong Zhen Wei dan Pengarah Bina Pragmatik Azirul Salihin.
Cekap Air mendakwa meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan ahli perniagaan itu pada 25 Feb 2022. Wang tersebut dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman mewakili pereka fesyen itu.
Bina Pragmatik pula mendakwa meminjamkan RM5 juta kepada Jovian pada 25 Mac 2022 dengan memindahkan wang tersebut ke akaun pelanggan firma guaman yang sama.
Menurut kedua-dua syarikat, firma guaman itu mengesahkan penerimaan wang tersebut.
Kedua-dua plaintif berkata, pinjaman persahabatan itu perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Mereka mendakwa, pinjaman itu diberi dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan adalah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain.
Ketika itu, Jovian juga menantu perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, kedua-dua plaintif mendakwa defendan memungkiri perjanjian pinjaman itu dan sehingga kini gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan, menyebabkan mereka mengalami kerugian.