
Kenyataan itu susulan Puad pada 5 Julai lalu menyifatkan alasan Noh menyertai Bersatu kerana simpati terhadap nasib dan perkembangan kes bekas perdana menteri Najib Razak sebagai ‘low class’.
Puad berkata, Noh sengaja menjual nama Najib untuk melompat parti walaupun diketahui beliau bukan penyokong kuat ‘Bossku’.
Menepis dakwaan itu, Noh yang menyertai Bersatu pada 3 Julai berkata Puad ‘lupa’ yang dia kini adalah speaker DUN Johor dan perlu menjaga ‘standard’ jawatan berkenaan.
“Kalau nak jaga ‘standard’ masa jadi speaker, jangan cakap banyak pasal politik, saya ingat Puad ini speaker yang ‘low class’,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Bekas ketua Umno Selangor berkata, Puad juga tidak tahu membezakan antara lompat dan dipecat parti selepas mendakwa beliau berbuat demikian untuk menyertai Bersatu.
“Saya sudah kena pecat. Ibarat kalau kahwin saya sudah kena cerai. Bukan gantung tak bertali. Terpulang pada saya nak cari jodoh baru,” katanya.
Beliau menjelaskan perlu mencari parti baharu untuk terus bergerak dalam politik dan memilih Bersatu.
Noh dipecat Umno tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada PRU15.
Beliau pernah menganggotai Kabinet di zaman pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan Ismail Sabri Yaakob.
Antara portfolio dipegangnya termasuk kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan serta pertanian dan industri asas tani.
Ahli Parlimen Tanjong Karang enam penggal itu digugurkan daripada kerusi tersebut pada PRU15 menyaksikan Barisan Nasional kalah kepada Perikatan Nasional.