
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata ia sebagai usaha menjadikan platform media sosial lebih selamat, selain menangani gejala buli siber dalam kalangan pengguna medium itu.
“Kita akan maklumkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri esok tentang langkah perundangan yang boleh diambil sekarang, sama ada menggubal satu akta baharu ataupun meminda akta sedia ada.
“Sidang Parlimen ada lebih kurang seminggu lagi, jadi kita ada masa sekiranya Kabinet merasakan ada keperluan (bentang rang undang-undang) untuk kita bertindak segera,” katanya dalam sesi bersama media di Bangunan Parlimen.
Baru-baru ini, seorang wanita yang juga pempengaruh media sosial dikatakan membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber.
Fahmi berkata, cadangan itu antara hasil mesyuarat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bersama Timbalan Menteri Digital, Wilson Ugak Kumbong serta wakil Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara semalam.
Dalam aspek pengurusan, katanya, penting untuk menentukan sama ada sesuatu tindakan itu boleh ditakrifkan buli siber dan langkah pencegahan boleh diambil.
“Ada yang berpandangan kalau menteri, Ahli Parlimen, ahli politik selalu (dilihat) kena ‘buli siber’…tapi mereka tidak buat aduan dan ada juga merasakan ia (buli siber) benda yang remeh…saya rasa kita perlu buat satu ketetapan. Jadi, aspek takrifan itu pun akan diberi perhatian.”
Beliau berkata, aspek urusan pentadbiran antara pegawai penyiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta polisdan juga perlu diselaraskan dalam beberapa perkara, termasuk aduan berkaitan buli siber.
Menurutnya, Kementerian Komunikasi juga akan melancarkan jerayawara keselamatan dalam talian dalam masa terdekat bagi meningkatkan kesedaran di peringkat sekolah dan komuniti mengenai kesan buruk Internet.
Program itu juga bertujuan menerangkan secara holistik tentang bahaya penggunaan Internet, termasuk boleh menyebabkan perbuatan buli siber, scammer atau penipuan, keselamatan siber, selain cara melindungi data peribadi dan manfaat platform itu.