Beri kuasa ketua audit negara lapor salah laku, kata Ahli Parlimen kerajaan

Beri kuasa ketua audit negara lapor salah laku, kata Ahli Parlimen kerajaan

Dengan itu, ketua audit negara mempunyai hak untuk membuat laporan polis atau terus kepada SPRM sekiranya salah laku tadbir urus dikesan tanpa perlu menunggu kementerian berkaitan.

Syahredzan Johan berkata cadangan supaya ketua audit negara melaporkan terus salah laku dikesan dalam laporannya kepada pihak berkuasa wajar dipertimbangkan.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan berpendapat ketua audit negara wajar diberi kuasa mandatori untuk melaporkan salah laku yang dikesan dalam laporannya kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang juga ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata cadangan itu perlu diperhalusi kerajaan bagi usaha memperkasakan institusi berkenaan.

“Ini kerana kadang-kala apa yang berlaku adalah bila berlaku ketidakteraturan atau berlaku ‘red flag’, pihak tertentu mungkin tidak mahu membuat laporan,” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Md Nor bertanya kepada Syahredzan sama ada wajar ketua audit negara diberi kuasa ‘mandatori’ untuk terus melaporkan kepada pihak berkuasa apabila mengesan suatu perilaku jenayah dalam laporan berkenaan.

“Tidak perlu tunggu kementerian berkaitan untuk laporkan,” katanya.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 dikeluarkan Khamis lalu, mengesyorkan beberapa perkara termasuk meminta Kementerian Sumber Manusia merujuk pengurusan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat itu dalam auditnya.

Menurut laporan itu, terdapat tindakan dan keputusan diambil pengurusan HRD Corp yang tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

PAC turut mendedahkan panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburannya kepada lembaga pengarahnya, dengan levi dikutip ‘secara agresif’ digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi.

PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dan menegur ia bukan institusi pelaburan.

Selain itu, turut didedahkan penyalahgunaan dana Majlis Profesor Negara (MPN) berjumlah RM373,516 melibatkan dua ahli lembaga pemegang amanahnya.

Menurut laporan, pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.