Banteras nikah sindiket, pindaan enakmen Selangor dijangka dibentang 2026

Banteras nikah sindiket, pindaan enakmen Selangor dijangka dibentang 2026

JAIS mengkaji menambah peruntukan berhubung perkara ini dan mengesyorkan hukuman ditingkatkan bagi kesalahan berkaitan, menurut exco.

Buat masa ini, tiada peruntukan khusus berkaitan nikah sindiket dalam enakmen undang-undang keluarga Islam di Selangor, kata exco Mohammad Fahmi.
SHAH ALAM:
Pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 untuk memasukkan peruntukan berhubung individu atau agen mempromosi pernikahan di luar undang-undang Islam negeri dijangka dibentangkan pada 2026.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang mengkaji pindaan enakmen itu dengan menambah peruntukan berhubung perkara berkenaan dan mengesyorkan meningkatkan hukuman bagi kesalahan berkaitan, termasuk bersubahat, dalam usaha membanteras nikah sindiket.

“Pada tahun ini sahaja, tujuh daripada 14 siri bengkel yang dirancang oleh JAIS telah dibuat bersama pihak berkepentingan bersama termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor, dengan nasihat pegawai syariah Pejabat Kamar Negeri, pegawai undang-undang JAIS serta Sekretariat Bahagian Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS).

“Perancangan selanjutnya akan dibawa dalam perbincangan teknikal Jawatankuasa Undang-Undang MAIS sebelum pembentangan dalam mesyuarat MAIS dan terakhir akan dibentang untuk sidang DUN pada 2026,” katanya.

Mohammad Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan Jefri Mejan (PN-Ijok) berkaitan usaha mengekang nikah sindiket di luar negara yang dibuat tanpa kebenaran JAIS pada sidang DUN Selangor.

Nikah sindiket ialah pernikahan yang berlaku di luar negara tetapi tidak didaftarkan bawah kedutaan, menyebabkan tiadanya surat perakuan nikah yang diiktiraf. Mohammad Fahmi berkata, buat masa ini, tiada peruntukan khusus berkaitan nikah sindiket dalam enakmen negeri.

Bagaimanapun peruntukan undang-undang dan penguatkuasaan bawah Seksyen 124 Berpoligami Tanpa Kebenaran Mahkamah dan Seksyen 40 (2) Kesalahan berhubung Akad Nikah Perkahwinan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 diguna pakai untuk membendung kesalahan dalam kegiatan nikah sindiket ini.

“Harus saya maklumkan juga, hukuman yang boleh dikenakan antaranya ialah RM1,000 atau enam bulan penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.