Warga Thailand mengaku tak salah miliki 280 liter petrol

Warga Thailand mengaku tak salah miliki 280 liter petrol

Suwit Sake, 34, dari Danok, Thailand didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Masjid Bukit Kayu Hitam, 3 Julai lepas.

Lelaki warga Thailand, Suwit Sake, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan memiliki 280 liter petrol di Bukit Kayu Hitam. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Seorang lelaki warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 280 liter petrol di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.

Suwit Sake, 34, dari Danok, Thailand didakwa memiliki barang kawalan berjadual itu yang dijumpai dalam tangki tambahan di bahagian bawah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengangkut barang didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Laka Temin dan berhampiran Masjid Bukit Kayu Hitam pada 3.50 pagi, 3 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Hakim Jean Sharmila Jesudason membenarkan Suwit diikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat di Malaysia setiap awal bulan dan menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Hilmi Abu Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.