Projek hospital baharu untuk kontraktor ‘terpilih’ tak wujud, kata Dzulkefly

Projek hospital baharu untuk kontraktor ‘terpilih’ tak wujud, kata Dzulkefly

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata tiga hospital berkenaan yang terkandung dalam surat pelantikan yang tular itu sebenarnya sudah lama beroperasi.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata projek hospital baharu seperti didakwa dalam surat tular di media sosial sebenarnya tidak pernah diluluskan peruntukan oleh kerajaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Projek pembinaan tiga hospital baharu yang kononnya diberikan kepada syarikat ‘terpilih’ seperti tular di media sosial tidak wujud sama sekali, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pihaknya meneliti kandungan surat perlantikan tersebut dan didapati melibatkan projek pembinaan tiga hospital iaitu Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor; Hospital Jelebu, Negeri Sembilan dan Hospital Kuala Lipis, Pahang yang telah lama wujud dan sedang beroperasi.

“Buat masa ini KKM (Kementerian Kesihatan) belum mempunyai perancangan dalam masa terdekat untuk membina hospital baharu untuk menggantikan ketiga-tiga hospital ini.

“Oleh itu, projek yang dinyatakan dalam surat tular tersebut sebenarnya tidak pernah diluluskan peruntukan oleh kerajaan dan dengan itu permohonan daripada syarikat tersebut tidak dipertimbangkan kerana tidak wujud dan tiada sebarang tindakan susulan diambil KKM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Kamar Khas di Parlimen bagi menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai tender bagi Pembinaan Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata tidak dinyatakan sebarang arahan atau kelulusan dalam surat berkenaan supaya syarikat yang disebut perlu dilantik untuk melaksanakan projek itu dan Pejabat Perdana Menteri juga menyerahkan kepada KKM untuk meneliti permohonan terbabit serta memutuskan tindakan yang perlu diambil.

“Tindakan ini membuktikan Pejabat Perdana Menteri tidak campur tangan dalam hal urusan perolehan projek KKM dan kementerian lain, selari garis panduan pengendalian sokongan oleh anggota pentadbiran dalam urusan kerajaan yang diperkenalkan dan berkuat kuasa sejak 21 Mei lepas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.