Lebih 48,000 panggilan berkait tingkah laku cubaan bunuh diri diterima

Lebih 48,000 panggilan berkait tingkah laku cubaan bunuh diri diterima

Selain itu terdapat peningkatan kes bunuh diri dilaporkan tahun lalu iaitu 1,087 berbanding 981 tahun sebelumnya.

AHMAD ZAHID HAMIDI
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata peranan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan dalam menangani situasi berhubung tingkah laku bunuh diri perlu lebih proaktif.
KUALA LUMPUR:
Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian Heal 15555 menerima lebih 48,000 panggilan berkaitan tingkah laku cubaan bunuh diri bagi tempoh 2022 hingga Jun tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid yang juga pengerusi Majlis Sosial Negara berkata selain itu, terdapat peningkatan kes bunuh diri dilaporkan tahun lalu iaitu sebanyak 1,087 kes berbanding 981 tahun sebelumnya.

Justeru, beliau berkata mesyuarat Majlis Sosial Negara bersetuju supaya peranan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan dalam menangani situasi berhubung tingkah laku bunuh diri di negara ini dilaksanakan secara bersepadu dan lebih proaktif.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara di Bangunan Parlimen.

Sementara itu, dalam kenyataan Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata agenda lain yang disentuh pada mesyuarat itu adalah mengenai silibus Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) di sekolah bawah Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, silibus PEERS dipersetujui dilaksanakan mengikut pelaksanaan sedia ada berserta cadangan penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran silibus melalui kurikulum pendidikan kesihatan Kurikulum Persekolahan 2027.

Zahid berkata, turut dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan adalah mengenai pelaksanaan Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment – SIA) bagi projek pembangunan.

“Sejak 2016 hingga Mac 2024, Mesyuarat Panel Penilai Laporan SIA telah membuat penilaian laporan SIA bagi 51 projek pembangunan di peringkat persekutuan dan 162 projek pembangunan telah dinilai di peringkat negeri,” katanya.

Mesyuarat turut menyentuh mengenai pencapaian Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.