Umno tanding jika ada PRK di Kuala Kangsar, kata Zahid

Umno tanding jika ada PRK di Kuala Kangsar, kata Zahid

Presiden Umno berkata pada PRU lalu BN mendapat jumlah undi kedua tertinggi di Parlimen itu.

Presiden Umno Zahid Hamidi berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA KANGSAR:
Umno akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar sekiranya PRK diadakan alam masa terdekat, kata presidennya, Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan PRU lepas menjadi sandaran bagi hasrat itu setelah Umno memperoleh jumlah undi kedua tertinggi selepas calon parti lawan yang menang.

“Mengikut Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki, formulanya, kalau kerusi itu kita kalah (pada pilihan raya) tetapi kita berada pada kedudukan nombor dua (jumlah undi), maka pada pilihan raya akan datang, kerusi itu wajib kita rampas semula,” katanya.

Zahid berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak hari ini.

Pada PRU15, calon Bersatu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menang kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan 14,380 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN) Maslin Sham Razman memperoleh 10,814 undi.

Selain Kuala Kangsar, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul meminta supaya kerusi Parlimen Gua Musang, Jeli; Bukit Gantang; Tanjung Karang; dan Labuan dikosongkan.

Sementara itu, Zahid yang juga pengerusi BN berkata, pembahagian kerusi antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) untuk PRU16 akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi agar tiada pertindihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.