
Justeru, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata agenda penyasaran dilaksanakan kerajaan tidak wajar dihentikan semata-mata kerana keputusan PRK itu.
“Teruskan agenda seperti biasa. Penyasaran subsidi diesel perlu diteruskan kerana ia terbukti berkesan menghapuskan ketirisan.
“Namun, kerajaan kena pastikan harga barang tidak melambung, di samping mengkaji kaedah dan jumlah subsidi wajar kepada segmen yang layak mendapatnya,” katanya kepada FMT.
Pada PRK itu, calon Pakatan Harapan daripada PKR Joohari Ariffin kalah kepada Abidin Ismail daripada PAS yang mewakili Perikatan Nasional dengan majoriti 4,267 undi.
Bagaimanapun, Mazlan berkata jika kerajaan berhasrat meneruskan agenda penyasaran subsidi kepada RON95, ia perlu dilaksanakan dengan lebih berhati-hati.
“Tidak perlu dibuat tergesa-gesa seperti diesel kerana petrol digunakan hampir semua segmen penduduk dan penyasaran subsidi petrol boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati terutama golongan pertengahan yang merupakan penyokong terbesar kerajaan Madani,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Nazari Ismail, berkata jika kerajaan memilih langkah populis masalah ekonomi negara akan bertambah serius.
Beliau berkata, oleh kerana kerajaan berdepan masalah hutang yang besar penyasaran subsidi wajar diteruskan, dan program pendidikan rakyat mengenai masalah kewangan sedang dihadapi perlu diadakan.
Nazari berkata, kesilapan kerajaan adalah menawarkan janji yang tidak boleh ditunaikan ketika sebelum memerintah.
“Kesilapan kerajaan PH ialah dulu beri janji yang sebenarnya mereka tidak mampu tunaikan seperti menyelesaikan masalah kos sara hidup dan akan menurunkan harga minyak. Kegagalan menunaikan janji inilah yang membuatkan rakyat hampa dan kecewa,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM58.1 bilion jumlah keseluruhan subsidi untuk 2024 dalam usaha membantu rakyat.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata kerajaan menjangkakan penjimatan RM4 bilion hasil penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan sejak 10 Jun lalu.
Ia sekali gus dijangka memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat.