Pengangkutan awam perlu pendekatan holistik susulan laporan audit, kata perunding

Pengangkutan awam perlu pendekatan holistik susulan laporan audit, kata perunding

Wan Agyl Wan Hassan berkata, tanpa sistem pengangkutan awam bersepadu, penumpang berpotensi akan terkandas.

MRT
Perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan berkata, pergelutan berterusan dengan ketersambungan jarak pertama dan terakhir mendedahkan salah faham atau pengabaian mendalam terhadap keperluan penumpang.
PETALING JAYA:
Semua pemegang taruh pengangkutan awam mempunyai tanggungjawab bersama untuk meningkatkan jumlah penumpang, kata pakar industri.
Wan Agyl Wan Hassan.

Perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai MRT1 dan MRT2 baru-baru ini menekankan keperluan untuk pendekatan holistik, penjajaran dasar strategik dan komitmen semua pemegang taruh untuk menjadikan MRT pilihan pengangkutan boleh dipercayai serta menarik.

“Tanpa akses boleh dipercayai dan mudah – bas, berjalan kaki, berbasikal dan mod pengangkutan lain – penumpang berpotensi akan terkandas.

“Kelemahan asas dalam ekosistem pengangkutan sekarang sangat mengehadkan potensi MRT untuk menarik dan mengekalkan pengguna,” kata Wan Agyl sambil menambah pergelutan berterusan dengan ketersambungan perbatuan pertama dan terakhir mendedahkan salah faham atau pengabaian mendalam terhadap keperluan penumpang.

“Walaupun penyelesaian perbatuan pertama ditangani secara sedikit, ketersambungan perbatuan terakhir sering menjadi mimpi ngeri.

“Ia kegagalan kolektif membabitkan pihak berkuasa tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan. Tanggungjawab berpecah ini membawa kepada kurang penyelesaian koheren.”

Sementara itu, sumber industri tahu mengenai projek MRT berkata, tidak adil menyalahkan MRT Corp sepenuhnya kerana ada faktor lain tidak dijangka menyebabkan terlepas sasaran penumpang bagi sistem MRT – direka bentuk dengan mengambil kira permintaan semakin meningkat bagi 30 tahun akan datang – khasnya Covid-19 dan kelewatan dalam pembangunan selari di luar kawalan mereka.

“Sasaran penumpang mengambil kira peningkatan penumpang daripada pembangunan hartanah di sepanjang jajaran seperti Kwasa Land, TRX City, Bandar Malaysia, Merdeka 118 dan lain-lain. Kelewatan atau penangguhan pembangunan ini bersama kemudahan awam lain seperti perhentian bas dan laluan pejalan kaki pasti menyebabkan sasaran tidak dapat dicapai.”

Sementara itu, Wan Agyl memetik budaya kereta di Malaysia, dengan pengangkutan awam gagal menyediakan alternatif boleh dipercayai.

“Keadaan sesak dan tidak selesa pada waktu puncak menghalang pengguna berpotensi. Tanpa dasar dapat mengimbangi penggunaan kereta dan manfaat pengangkutan awam, jumlah penumpang tidak bertambah,” katanya sambil menambah perkhidmatan bas pengantara untuk pengangkutan rel ‘sangat tidak mencukupi’.

“Penumpang berdepan jadual bas tidak boleh dipercayai, kesesakan lalu lintas dan kurang pengesanan masa nyata yang menjadikan perancangan perjalanan mengecewakan.”

Wan Agyl berkata, terdapat percanggahan ‘ketara’ antara dasar kerajaan, di mana Dasar Pengangkutan Negara mendorong penggunaan pengangkutan awam, manakala Dasar Automotif Kebangsaan menggalakkan pengeluaran serta pemilikan kereta.

Beliau menyifatkan pendekatan kerajaan terhadap pengangkutan awam sebagai perusahaan komersial – berbeza dengan pelaburan memberi manfaat sosial dan ekonomi ketara – yang ‘cacat pada asasnya’.

“Perspektif ini menghalang pembangunan sistem pengangkutan awam yang mantap dan berkesan,” katanya sambil menegaskan sistem MRT masih tidak lengkap, dengan sebahagian MRT3 masih dalam pembinaan, justeru MRT1 mahupun MRT2 belum mencapai potensi penuh.

Sementara itu, sumber berkata, langkah untuk mencapai sasaran penumpang, seperti dasar pengangkutan awam kerajaan, penting dalam memastikan faktor penggunaan tolak-tarik boleh berjaya.

“Penyasaran subsidi bahan api, caj kesesakan mengikut zon dan masa masuk, kadar parkir kenderaan persendirian di kawasan ibu kota mengalami kenaikan, dan sebagainya.”

Khamis lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2024 mendedahkan MRT1 dan MRT2 gagal mencapai sasaran bilangan penumpang harian, tren beroperasi dan kekerapan tren pada waktu puncak.

Bagi MRT1, menurutnya, purata peratusan penumpang harian berbanding sasaran diunjurkan 10.8% hingga 37.4% antara 2017, ketika perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya dan 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.