Rakyat tolak dasar, kerajaan Anwar, kata pemimpin Bersatu

Rakyat tolak dasar, kerajaan Anwar, kata pemimpin Bersatu

Hamzah Zainudin dan Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan di Sungai Bakap menunjukkan sokongan kuat rakyat kepada PN.

kemengana sg bakap p
Kemenangan Perikatan Nasional di Sungai Bakap menunjukkan rakyat menolak kerajaan perpaduan, kata Bersatu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam PRK Sungai Bakap menunjukkan sokongan padu pengundi Melayu dan mengukuhkan kedudukannya sebagai wadah utama politik rakyat berbilang kaum, kata Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin.

“Lonjakan majoriti sebanyak 4,267 undi yang diterima Abidin Ismail adalah referendum jelas rakyat menolak kerajaan Madani pimpinan (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim.

“Keputusan ini juga bukti rakyat menolak pemimpin sombong dan angkuh, yang sengaja pekakkan telinga dan butakan hati dengan penderitaan rakyat yang terbeban akibat kenaikan kos sara hidup,” katanya dalam catatan Facebook sambil menambah kerajaan perpaduan belum menepati janjinya menurunkan harga minyak.

Sementara itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Sungai Bakap menunjukkan rakyat tidak berpuas hati dengan dasar membebankan kerajaan perpaduan.

“Ini termasuk penyasaran subsidi diesel yang menyebabkan kenaikan harga barang dan menambah beban rakyat, kedegilan kerajaan meneruskan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd kepada Global Infrastructure Partners, walaupun ditentang hebat rakyat.

“Kerajaan juga gagal melaksanakan janji-janji reformasi institusi,” katanya dalam catatan Facebook.

Semalam, PN mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas Abidin menang dengan majoriti 4,267 undi mengatasi Joohari Ariffin dari Pakatan Harapan.

PRK itu diadakan susulan kematian Adunnya Nor Zamri Latiff, yang juga ketua PAS Nibong Tebal pada 24 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.