SPRM akan rampas dokumen dari HRD Corp, kementerian

SPRM akan rampas dokumen dari HRD Corp, kementerian

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, antara perkara diteliti pihaknya termasuk isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan serta pembelian harta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, beberapa individu yang dikenal pasti akan diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ke Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) Selasa ini untuk mendapatkan dokumen berkaitan susulan penemuan prosedur “ketidakteraturan” dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya sudah menerima laporan audit daripada ketua setiausaha Kementerian Sumber Manusia.

“Berasaskan laporan audit tersebut, kita mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak terlibat. Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya.

“Oleh itu, satu pasukan khas telah dibentuk dan beberapa kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan sambil menambah beberapa individu yang dikenal pasti akan diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009.

LKAN 2024 yang dikeluarkan Khamis lalu mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat itu dalam auditnya.

Menurut laporan itu, terdapat tindakan dan keputusan diambil pengurusan HRD Corp yang tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut mendedahkan panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburannya kepada lembaga pengarahnya, dengan levi dikutip “secara agresif” digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.