
Anwar turut mengarahkan ketua setiausaha kementerian serta pegawai kanan kerajaan berbuat demikian.
Beliau berkata, arahan itu tidak bermaksud pihak berkenaan perlu membuat pemantauan setiap hari, tetapi cukup sebulan atau dua bulan sekali untuk memastikan pembangunan kampung tidak terpinggir kerana pembangunan tidak boleh ditumpukan kawasan bandar saja.
“(Kita) ada jentera kerajaan, betul, tetapi kadang-kadang tak sampai maklumat. Arahan kita, dalam Kampung Angkat Madano termasuk PM (perdana menteri), menteri, KSN, KSU (ketua setiausaha) kementerian dan semua pegawai kanan mesti pilih kampung asal atau mana-mana kampung lain untuk dijadikan kampung angkat.
“Sebab apa? Semua ada teori masing-masing, cakap tentang ekonomi, sosial, masalah kesihatan, pendidikan, bagaimana nak ukur berjaya atau tidak? Kita ukur dari peringkat bawah. Maknanya, kalau nak tahu (teori masing-masing) berjaya atau tidak, turun ke kampung, tengok masalah kesihatan, pendidikan, soal keciciran, sakit mental.”
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong, Balok, di sini.
Hadir sama KSN, Zuki Ali dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, beliau turun ke kampung sejak beberapa bulan lepas dan mesyuarat turut dibuat untuk mengetahui masalah di kampungnya di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang.
“Saya lahir di Sungai Bakap, tapi umur lima tahun pindah ke Bukit Mertajam dan Cherok Tok Kun, saya membesar di Cherok Tok Kun, jadi saya pilih Cherok Tok Kun. Saya panggil imam, guru besar, guru-guru tengok masalah keciciran…kenapa anak ini berhenti.”
Menyentuh pelancaran Kampung Chengal Lempong sebagai Kampung Angkat Madani peringkat kebangsaan serta beberapa kampung yang dipilih sebagai Kampung Angkat Madani sebelum ini, beliau berkata ia antara cara menilai keberkesanan dasar diumumkan kerajaan.
Katanya, ada kalanya dasar hebat diumumkan kerajaan tidak dapat difahami rakyat sepenuhnya, namun masalah seperti itu dapat diatasi jika pemimpin dan pegawai kanan kerajaan turun ke peringkat akar umbi membuat penjelasan.
Dalam majlis itu juga, beliau menyampaikan sumbangan berupa geran RM100,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Persatuan Penduduk Kampung Chengal Lempong.
Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada 1,000 asnaf di Parlimen Indera Mahkota dan 401 nelayan di sini.