Menteri mahu jumpa penyedia platform media sosial berkait buli siber

Menteri mahu jumpa penyedia platform media sosial berkait buli siber

Kementerian Komunikasi tidak berpuas hati dengan komitmen penyedia platform dalam mengendalikan aduan berkaitan isu buli siber.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pertemuan dengan penyedia platform media sosial akhir bulan ini akan perinci pengurusan isu buli siber.
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, akan menemui semua penyedia platform media sosial akhir bulan ini bagi memperincikan pengurusan isu buli siber.

Katanya, pertemuan itu perlu dilakukan kerana ketika ini, kementerian tidak berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan penyedia platform dalam mengendalikan aduan berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata, pengurusan isu buli siber di platform seperti TikTok misalnya amat mengecewakan dan seolah-olah tidak diambil serius.

“Pertemuan itu nanti akan turut disertai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Peguam Negara serta pihak berkepentingan lain untuk kita lihat dan teliti perkara ini berdasarkan aduan-aduan yang diterima.

“Kita mahu perubahan menyeluruh, mahu penyedia platform lebih bertanggungjawab dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang di negara ini, mereka meraih banyak keuntungan daripada hasil pengiklanan, jadi sekiranya ada apa-apa (aduan), mereka wajib ambil tindakan sewajarnya.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan meninjau kemudahan perfileman di Kompleks Studio Merdeka Finas di Ampang.

Mengulas kes tular seorang pempengaruh TikTok didakwa membunuh diri kerana tertekan dengan buli siber, Fahmi berkata. pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Di pihak SKMM, saya boleh sahkan pempengaruh itu ada membuat aduan, tetapi ingin saya tekankan ia berkaitan isu lain dan tiada kena-mengena kes buli siber yang (didakwa) menjadi punca kepada tragedi kematiannya.

“Bagaimanapun, isu-isu seperti inilah yang menjadi sebab pihak kementerian mahupun kerajaan bersungguh-sungguh mahu meneliti atau memantau aspek kandungan di media sosial dan hubungannya dengan pengurusan platform.”

Beliau berkata kerajaan terus komited memperkasakan keselamatan dalam talian, terutama melibatkan kanak-kanak dan keluarga yang antara lain membabitkan isu penipuan, kesalahan jenayah seksual, judi dalam talian serta buli siber.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.