Baru 10 hari sambut bayi, ibu berpantang tegar turun mengundi

Baru 10 hari sambut bayi, ibu berpantang tegar turun mengundi

Luka bedah tidak menghalang Dalila Diana Shafie, 37, keluar memilih pada PRK Sungai Bakap.

dalila
Dalila Diana Shafie, 37, yang 15 tahun menanti kelahiran bayi pertama teruja mengundi walaupun berkerusi roda.  (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Meskipun baru 10 hari melahirkan cahaya mata ia bukan penghalang buat Dalila Diana Shafie, 37, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi PRK Sungai Bakap.

Kesungguhan tenaga pengajar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puteri Gunung itu jelas dilihat apabila dia begitu teruja walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk ke saluran mengundi.

Walau sesukar mana pun dia tetap akan turun melunaskan tanggungjawab itu kerana satu undi akan hilang jika tidak keluar mengundi hari ini amat merugikan kerana satu undi itu boleh menentukan kemenangan calon.

“Awal tadi saya ke Klinik Desa Tasek Simpang Ampat buat pemeriksaan susulan lepas itu terus ke sini dengan suami. Sayang kalau tak mengundi sebab ini babitkan masa depan negara kita.

“Patutnya saluran mengundi di tingkat atas tapi tak berani naik tangga sebab luka pembedahan pun belum betul-betul baik jadi disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan ini, saya dibenarkan tumpang mengundi di bawah,” katanya yang memberitahu menunggu selama 15 tahun untuk mendapat zuriat pertama.

Dalila berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang mengundi setiap kali ada pilihan raya sejak PRU12 pada 2008.

Dia bersyukur kerana suami turut memberikan semangat dan galakan untuknya hadir pada hari ini dan berusaha menghantarnya ke pusat pengundian.

“Terima kasih kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membantu melancarkan urusan dari pintu masuk sehingga saya selesai mengundi.

“Tugas saya sebagai warganegara Malaysia dan pengundi DUN Sungai Bakap telah selesai. Harapan saya pemimpin yang bakal dipilih nanti dapat memimpin dengan baik, mendengar segala keluhan rakyat dan berusaha menunaikan tanggungjawab diamanahkan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Ogos tahun lalu Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.