
Kali terakhir skim penempatan jangka panjang ini mengalami perubahan besar adalah pada 2021, di bawah kerajaan Perikatan Nasional.
Baru-baru ini, kerajaan perpaduan mengumumkan rombakan MM2H bertujuan memperkukuh ekonomi negara dan menawarkan pakej yang lebih baik kepada pemegang visa baharu.
Tetapi, bagaimana sebenarnya MM2H yang baharu ini lebih baik, dan lebih kukuh berbanding skim sebelum ini?
Kriteria kelayakan disemak semula
Jawapannya adalah pada kriteria kelayakan yang baru dan dikemaskini.
Pada 2021, MM2H direka untuk menarik individu berpendapatan tinggi (HNWI). Akibatnya, kriteria kelayakan MM2H itu menyaksikan perubahan drastik yang mengecilkan jumlah calon yang berpotensi.
Di bawah pentadbiran lama, pemohon prinsipal perlu membuat deposit tetap sebanyak RM1 juta dan tambahan RM50,000 untuk setiap tanggungan yang dibawa bagi mendapatkan visa pelbagai kemasukan selama lima tahun.
Mereka juga perlu mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM40,000 dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

Ramai warga asing yang berminat untuk menjadikan Malaysia rumah kedua adalah pesara. Memandangkan mereka kebanyakannya bergantung hidup pada pencen dan pendapatan pelaburan, syarat pendapatan bulanan RM40,000 itu secara automatik tidak melayakkan mereka.
Kenaikan jumlah dalam syarat deposit tetap – daripada RM300,000 pada 2002 hingga 2019 – dan syarat aset cair juga menjejaskan pemohon berpendapatan sederhana.
Kini, peraturan itu telah berubah. Kerajaan kini memperkenalkan perubahan berikut:
- Memperkenalkan tiga kategori MM2H, sebelum ini hanya satu;
- Menghapuskan syarat pendapatan bulanan dan aset cair yang membebankan; dan
- Menurunkan kadar minimum deposit tetap kepada USD150,000 (RM705,000) untuk visa lima tahun.
Beberapa syarat MM2H juga kini lebih longgar. Namun, pada masa yang sama skim visa ini lebih ketat dalam beberapa aspek.
Antara yang penting, semua pemegang visa MM2H yang baharu mesti membeli hartanah kediaman dengan nilai minimum yang ditetapkan mengikut kategori visa mereka. Mereka juga perlu memegang hartanah tersebut selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum boleh dijual.
Peserta juga dibenarkan untuk menaik taraf hartanah atau membeli yang baharu dengan nilai lebih tinggi daripada apa yang mereka miliki.
Meningkatkan ekonomi
Perubahan ini penting untuk beberapa sebab.
Pertama, MM2H menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Dari 2002 hingga 2019, MM2H menarik 48,471 pesara dan tanggungan mereka. Ini membawa masuk anggaran RM58 bilion pendapatan menerusi pelaburan hartanah, perbelanjaan perubatan dan pendidikan, dan kesan pengganda ekonomi yang lain.
Perubahan pada 2021 memberi kesan besar dalam pasaran MM2H. Purata bilangan permohonan MM2H sejak itu dilaporkan jatuh sebanyak 90%, berbanding pada 2017 hingga 2019.
Dengan menambah baik kriteria kewangan yang membebankan, ia menarik lebih ramai pemohon, serta meningkatkan balik jumlah permohonan MM2H ini, dan terus merangsang ekonomi.
Kedua, dengan tiga kategori baharu, MM2H yang baharu masih menyasarkan HNWI tanpa mengorbankan kumpulan pemohon yang lebih besar. Migrasi kekayaan, termasuk oleh jutawan dan HNWI, adalah trend yang semakin berkembang dalam ekonomi global.
Pasaran migrasi pelaburan bernilai USD21 bilion setiap tahun, dengan anggaran 135,000 jutawan dijangka berpindah pada 2025. Untuk mendapatkan bahagian yang lebih besar dalam pasaran itu – dalam kes ini, melalui kategori ‘Platinum’ yang diperkenalkan – juga boleh memberi manfaat ekonomi kepada negara.

Skim MM2H yang dirombak ini masih menyasarkan warga asing yang lebih kaya, walaupun dengan syarat kewangan yang lebih longgar. Ini sebahagiannya mengambil kira inflasi, yang menyebabkan skim visa di mana-mana menjadi lebih mahal.
Ia juga meminimumkan pertindihan dengan program MM2H yang ditawarkan oleh Sabah dan Sarawak, yang lebih mampu milik – sejajar dengan kos sara hidup yang lebih rendah di Malaysia Timur – dan lebih sesuai untuk kumpulan berpendapatan sederhana rendah.
Oleh itu, warga asing mempunyai beberapa pilihan untuk berpindah ke Malaysia, bergantung pada kemampuan kewangan mereka.
Akhir sekali, pembelian hartanah yang wajib boleh mengurangkan hartanah tidak terjual di beberapa negeri seperti Perak, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor. Ini boleh meningkatkan pasaran hartanah dan nilai hartanah yang dipegang oleh rakyat Malaysia di kawasan sekitarnya.
Malaysia destinasi menarik
Dengan kriteria kewangan yang kurang ketat, Malaysia sekali lagi membuka pintunya kepada kumpulan pemohon MM2H yang lebih meluas dan pelbagai latar belakang.
Terma semasa adalah lebih mahal daripada yang ditawarkan sebelum pandemik Covid-19, tetapi ini sekali lagi adalah sejajar dengan inflasi. Sebarang keburukan perlu dipertimbangkan dengan kebaikannya pula.
Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk menetap dalam jangka panjang dan persaraan. Ia antara negara yang mempunyai kos sara hidup paling rendah di Asia Tenggara; infrastruktur perubatan, pendidikan dan perniagaan yang kukuh; dan jaringan pengangkutan yang murah melalui lapangan terbang antarabangsa.
Ringgit yang lemah juga memberi kelebihan kepada warga asing, kerana mereka mendapat lebih nilai untuk wang mereka di Malaysia.
Namun, MM2H masih ada ruang untuk dibaiki. Peraturan hartanah yang baharu mungkin terlalu ketat dan agak tidak masuk akal. Contohnya, mengapa kerajaan memaksa warga asing dengan visa lima tahun untuk memegang hartanah selama 10 tahun?
Warga asing dan migran, tanpa mengira tahap pendapatan mereka, membawa nilai yang besar kepada Malaysia. Mereka harus diberi fleksibiliti yang sewajarnya dan seimbang untuk hidup dengan baik dan bebas di mana-mana yang mungkin, sambil menyumbang kepada agenda ekonomi negara.