SKMM siasat akaun ‘Bola Tribe’ sentuh isu 3R

SKMM siasat akaun ‘Bola Tribe’ sentuh isu 3R

Suruhanjaya sedang mengenal pasti pemilik akaun media sosial itu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

mcmc-skmm-mcmc
SKMM sedang menyiasat sebuah akaun media sosial yang membuat hantaran memaparkan kuil dan tokong dalam cara yang tidak senonoh atas dakwaan 3R. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang menyiasat akaun media sosial ‘Bola Tribe’ yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum, agama, institusi diraja (3R) menerusi beberapa hantarannya yang tular.

Setakat ini, suruhanjaya itu sedang mengenal pasti pemilik akaun itu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

“Kemungkinan ini akaun palsu, yang memang terdapat beberapa hantaran berbaur 3R dan hasutan yang menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat,” katanya selepas menghadiri sebuah acara SKMM hari ini, lapor Bernama.

Terdahulu, penganut agama Buddha dan Taoisme dilaporkan berasa terganggu dengan penyebaran beberapa gambar kuil dan tokong secara tidak senonoh oleh akaun itu.

Ramai warganet turut menggesa agar tindakan diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau akan ke Singapura untuk bertemu dengan pengendali platform media sosial pada hujung bulan ini.

Katanya, pertemuan itu bertujuan menegaskan pendirian kerajaan agar platform media sosial mematuhi undang-undang untuk terus beroperasi di Malaysia.

“Sekiranya ingin beroperasi di Malaysia, mereka (platform media sosial) perlu patuh kepada undang-undang,” katanya.

“Kita ingin pastikan hantaran yang berbaur 3R atau cuba mengapi-apikan sentimen dalam masyarakat dapat dikurangkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.