RM1.6 bilion projek air Sabah, Sarawak lewat 7 tahun

RM1.6 bilion projek air Sabah, Sarawak lewat 7 tahun

Lebih 32,000 isi rumah masih tidak menerima bekalan air bersih dan terawat, kata Laporan Ketua Audit Negara.

ayor
Laporan Ketua Audit Negara 2024 menyebut 12 projek bekalan air di Sarawak dan 24 di Sabah bertujuan membekalkan air bersih kepada penduduk luar bandar.
PETALING JAYA:
Sebanyak 36 projek air luar bandar di Sabah dan Sarawak lewat siap hingga tujuh tahun walaupun mendapat kelulusan antara 2016 hingga 2018, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Laporan itu berkata, projek bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu bernilai RM1.6 bilion, melibatkan 12 projek di Sarawak (RM888.32 juta) dan 24 lagi di Sabah (RM758.84 juta).

Katanya, projek bertujuan menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan luar bandar lewat antara lima hingga tujuh tahun.

Kesan daripada itu, 32,229 isi rumah tidak mendapat bekalan air bersih dan terawat walaupun perunding sudah dilantik bagi semua projek tersebut.

Antara alasan kementerian berkait kelewatan adalah projek memerlukan tempoh bagi pelantikan perunding, penyediaan reka bentuk dan kelulusan mengambil tempoh lama; bantahan dan pencerobohan penduduk di tapak projek, perubahan dasar kerajaan melibatkan kaedah perolehan, dan perancangan projek terjejas berikutan wabak Covid-19.

Terdapat 35 projek sepatutnya dilaksanakan di Sarawak dan 377 di Sabah, namun pencapaian sebenar projek masing-masng pada tahap 51.9% dan 34.4%.

LKAN juga menyebut ada beberapa projek yang disiapkan tidak diguna atau diselenggara selepas diserahkan kepada kerajaan negeri.

Ia termasuk tangki perkhidmatan bernilai RM9.2 juta yang tidak digunakan sejak projek siap pada 19 Mac 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.