PJD Link mungkin kembali dalam agenda selepas cadangan ‘penambahbaikan’

PJD Link mungkin kembali dalam agenda selepas cadangan ‘penambahbaikan’

Exco Selangor Izham Hashim berkata perubahan dilakukan ke atas lima atau enam lokasi dan sudah dibentangkan kepada jawatankuasa pemantauan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata Majlis Tindakan Ekonomi Selangor akan mengkaji cadangan penambahbaikan projek PJD Link. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) yang dibatalkan April lalu mungkin kembali dalam agenda, menurut kerajaan Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata Putrajaya meminta kerajaan negeri menyemak semula pelarasan dibuat pemaju untuk menentukan sama ada ia boleh diterima.

“Perkara ini dibentangkan kepada jawatankuasa pemantauan yang saya pengerusikan baru-baru ini. Ada penambahbaikan dan perubahan dibuat ke atas lima atau enam lokasi di sepanjang lebuh raya dicadangkan itu.

“Kami merasakan langkah mitigasi dicadangkan itu baik dan perkara ini akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor untuk semakan lanjut,” katanya dalam sidang DUN.

Izham menjawab soalan tambahan Rajiv Rishyakaran (PH-Bukit Gasing) sama ada projek itu mendapat kelulusan semula Putrajaya atau diteruskan tanpa mendapat kelulusan negeri terlebih dahulu.

Beliau berkata, penilaian impak sosial bagi bahagian ditambah baik perlu dilakukan semula, memerlukan libat urus semula dengan penduduk untuk mendapat maklum balas mereka berhubung penerimaan penambahbaikan itu.

“Proses ini masih panjang dan perlu dilihat sama ada projek itu akan diluluskan atau tidak.”

April lalu, jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil berkata Putrajaya memutuskan tidak meneruskan projek PJD Link selepas syarikat konsesi itu gagal memenuhi enam daripada 11 syarat ditetapkannya.

Mengikut perancangan asal, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.

Cadangan pembinaan lebuh raya itu diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada November 2017.

Tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata kerajaan negeri memutuskan untuk membatalkan projek PJD Link kerana laporan penilaian impak dikemukakan pemaju, khasnya laporan penilaian impak sosial tidak memuaskan dan tidak memenuhi syarat tertentu ditetapkan kerajaan negeri.

Beliau kemudian meminta pemaju cadangan lebuh raya itu melakukan rundingan semula jajaran projek berkenaan dengan kerajaan persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.