Lelaki rentung, 2 polis cedera parah kereta jatuh parit

Lelaki rentung, 2 polis cedera parah kereta jatuh parit

Polis berkata kemalangan berlaku ketika kenderaan suspek dikejar polis sebelum terbabas ke dalam parit dan terbakar.

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata polis akan membuat ujian DNA bagi mengenal pasti identiti pemandu yang rentung itu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabas ke dalam parit ketika dikejar polis dalam kejadian di Jalan Benteng, Parit Kongsi 4 di Muar, Johor pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi tadi, kereta peronda yang mengejar kenderaan lelaki itu turut terbabas ke dalam parit menyebabkan dua anggota polis cedera parah, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata dua anggota polis itu sedang menjalankan rondaan sebelum menahan kereta Toyota Vios yang dinaiki mangsa di pekan Parit Jawa, bagi tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, lelaki itu bertindak memecut kenderaannya ke arah Parit Jamil dan enggan berhenti walaupun diarah serta polis turut membunyikan siren amaran.

“Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama.

“Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkan dia rentung. Dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun itu pula parah dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah,” katanya.

Raiz berkata, mayat suspek dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat serta menjalani ujian DNA bagi mengenal pasti identitinya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.