KKM prihatin petugas kesihatan tinggal kerjaya hijrah luar negara

KKM prihatin petugas kesihatan tinggal kerjaya hijrah luar negara

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata 2,445 jururawat memohon untuk bekerja di luar negara tahun lalu.

jururawat
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya juga prihatin isu petugas kesihatan meninggalkan kerjaya untuk bekerja di luar KKM. (Gambar KKM)
PETALING JAYA:
Seramai 2,445 jururawat memohon untuk bekerja di luar negara tahun lalu, 36% daripadanya bertugas di sektor awam, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

“Kementerian Kesihatan (KKM) prihatin isu petugas kesihatan meninggalkan kerjaya untuk bekerja di luar KKM.

“Isu ini turut dihadapi fasiliti swasta berikutan terdapat juga petugas mereka yang meletak jawatan untuk bekerja di fasiliti kesihatan lain dalam negara mahupun di luar negara,” katanya dalam jawapan bertulis terhadap soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung langkah menangani kekurangan jururawat menjelang 2030 dan penghijrahan bakat dalam sektor itu.

Pada 3 Mei lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata kekurangan jururawat di hospital diunjurkan hampir 60% menjelang 2030.

Bagi menangani isu itu, beliau berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta boleh membantu menangani kekurangan kakitangan kejururawatan yang diperlukan untuk memenuhi permintaan penjagaan kesihatan negara.

Pada 25 Jun lalu, KKM memaklumkan terdapat 6,787 kekosongan jawatan jururawat, membabitkan jawatan sedia ada dan baharu susulan naik taraf serta pembinaan fasiliti baharu.

Dzulkefly berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sedang menguruskan pengambilan bagi memastikan kakitangan mencukupi.

Sementara itu, katanya analisis KKM menunjukkan 20 pakar perubatan meletak jawatan untuk berhijrah ke luar negara.

Menurutnya jumlah itu mewakili 1% daripada 1,991 pakar perubatan yang meletak jawatan antara 2013 hingga 2023, dengan faktor utama penghijrahan akibat tawaran gaji lebih tinggi di luar negara.

Beliau menjawab soalan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta KKM menyatakan berapa ramai doktor pakar berhijrah ke luar negara sejak 10 tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.