
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB berkata, kedua-dua perkara berkenaan perlu dibezakan dan DoJ mempunyai tindakan jenayah tersendiri yang dikenakan terhadap Jho Low.

“Apa-apa yang dia mahu buat ke atas Jho Low, itu hak dia (DoJ) tetapi apa-apa saja ‘recovery’ yang dia buat, dia akan bagi balik duit itu kepada Malaysia.
“Kita punya isu sekarang ini adalah mengenai perjanjian penyelesaian yang telah dibuat waktu kerajaan sebelum ini dengan Goldman Sachs yang mana mereka akan bayar tambahan USD1.4 bilion (RM6.59 bilion) daripada USD2.5 bilion (RM11.78 bilion) yang dijanjikan.
“USD2.5 bilion sudah dibayar dan dia (DOJ) beri jaminan untuk bayar USD1.4 bilion. Dekat sini ada pertikaian sebab dia tak nak bayar kerana mereka kata kita sudah dapat banyak duit, sedangkan tidak, kita masih belum peroleh semuanya lagi,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB kali ke-30 2024 di Bangi.
Jho Low baru-baru ini dilaporkan akan menyerahkan harta bernilai lebih USD100 juta (RM471 juta), termasuk sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni Claude Monet dan Andy Warhol.
Tindakan itu dibuat bagi menyelesaikan kes pelucutan hak sivil berhubung peranannya dalam skandal rasuah dan penyelewengan dana 1MDB.
Aset yang dilucut hak itu adalah tambahan kepada hampir USD1 bilion (RM4.19 bilion), termasuk ‘superyacht’ bernilai USD120 juta (RM503 juta) yang Jho Low dan keluarganya dilucut hak sebelum ini.