
Tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, dari Changlun, Kedah juga boleh dikenakan penjara tambahan dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hasbullah pada pertuduhan kali pertama April lalu mengaku tidak bersalah, namun menukar pengakuannya ketika prosiding sebutan semula kesnya, pada 15 Mei lalu
Tertuduh kemudian terus mengekalkan pengakuan bersalahnya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Hasbullah didapati melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Muhammad Muhammad (Ku Teh Ku Muhamnad)’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Raja Perlis dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu pada 6 Mac lalu sekitar 3.26 pagi.
Justeru, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.
Pendakwaan dilaksanakan Timbalan Pendakwaan Negeri Perlis Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Che Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), menurut Astro Awani.
Izham dalam hujahannya, memohon mahkamah untuk memberikan satu hukuman berat kerana ia membabitkan institusi istana dan kepentingan awam juga perlu diambil kira dalam isu itu.
Perbuatan tertuduh itu adalah serius kerana ia mengheret Raja Perlis selaku ketua agama Islam negeri dalam hal berkenaan, selain mempermainkan isu agama Islam yang begitu sensitif kepada semua pihak.
Selain itu, hantaran tertuduh dalam media sosial adalah kesalahan serius kerana membabitkan isu agama, bangsa, dan institusi diraja (3R).
Sementara itu, Siti Hajar yang mewakili tertuduh pula merayu mahkamah dalam mengambil kira kepentingan awam, hak tertuduh juga perlu dijaga kerana tertuduh dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental.
Dalam keadaan itu juga, tertuduh terpaksa menanggung ibunya yang uzur dan lumpuh, selain mempunyai pendapatan yang tidak menentu sebagai peniaga di Pasar Besar Sena, Kangar.