Tumpu tingkat pendapatan ‘tepu’ guna penjimatan subsidi, kerajaan diberitahu

Tumpu tingkat pendapatan ‘tepu’ guna penjimatan subsidi, kerajaan diberitahu

Ahli akademik Barjoyai Bardai berkata penjimatan RM4 bilion setahun daripada penyasaran subsidi diesel boleh tampung program usahawan untuk tingkat pendapatan rakyat.

Penganalisis ekonomi juga mencadangkan penjimatan penyasaran subsidi diesel disalurkan kepada program peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk meningkatkan pendapatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis ekonomi mengesyorkan penjimatan daripada penyasaran subsidi turut dikhususkan untuk meningkatkan tahap pendapatan per kapita rakyat yang ‘tepu’ dan berlegar sekitar USD11,000 setahun lebih dari sedekad lalu.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata program keusahawanan boleh menjadi alternatif meningkatkan pendapatan isi rumah terutama dengan menarik pembabitan lebih ramai anak muda.

“Sektor pekerjaan adalah sektor penting di Malaysia dengan membabitkan 16.5 juta penduduk, tetapi kita tengok dalam tempoh 10 tahun lepas, kadar gaji tak meningkat.

“Begitu juga bagi sektor mikro, kecil dan sederhana di mana walaupun ia menyumbang 65% sumber pekerjaan kepada negara tetapi kadar pertumbuhan gaji juga statik,” katanya kepada FMT.

“Jadi kerajaan perlu beri tumpuan kepada sektor keusahawanan untuk tingkatkan pendapatan isi rumah.”

Kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel pada 10 Jun lalu dengan menetapkan harga runcit pada RM3.35 seliter di Semenanjung.

Langkah ini yang dijangka menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun boleh digunakan antaranya menambah bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meliputi sembilan juta penerima serta meningkatkan liputan jaringan pengangkutan awam.

Subsidi bersasar ini menggantikan subsidi pukal, yang menyebabkan negara menanggung kos lebih RM80 bilion tahun lalu, selain kritikal mengurangkan defisit, atau pembiayaan hutang baharu kerajaan, bagi bajet 2024 kepada 4.3% daripada kadar keluaran dalam negeri kasar (KDNK), berbanding 5% pada 2023.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata untuk bergelar usahawan ia berkait dengan bakat istimewa yang ada dalam diri individu dan ia harus dipupuk atau diasah bagi memastikan negara melahirkan ramai peniaga yang kreatif, inovatif dan proaktif di pasaran.

“Contohnya Hong Kong, untuk menjadi negara usahawan sepertinya ia juga memerlukan 10 hingga 15 tahun untuk jadi seperti sekarang… jika kita rancang dengan baik, dalam 10 tahun tidak mustahil kita mampu jadi negara usahawan sepertinya,” kata beliau.

Sementara itu, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata kerajaan seharusnya menyalurkan penjimatan itu kepada sektor yang boleh meningkatkan pendapatan isi rumah dengan tidak hanya melihat kepada bantuan tunai semata-mata.

Menurutnya, penjimatan itu dicadang untuk membiayai program ‘reskilling dan upskilling’ (peningkatan kemahiran dan latihan semula) yang memfokuskan kepada ketua isi rumah agar kelompok ini mendapat gaji atas daripada kadar purata kemiskinan.

“Dengan matlamat kerajaan sekarang mahu mengurangkan miskin tegar, sudah tentu ketua isi rumah kena dapat gaji lebih dari kadar purata kemiskinan, dan bagaimana mereka nak dapat gaji yang tinggi?

“Ini boleh dengan memastikan mereka hadir latihan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti mereka… saya nampak di sini kerajaan harus belanjakan sebahagian penjimatan (penyasaran subsidi diesel) itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.