Thomas gagal batal saman pendakwaan berniat jahat

Thomas gagal batal saman pendakwaan berniat jahat

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan kes itu akan menjalani perbicaraan penuh dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Tommy Thomas berkata, beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2020 dan perbicaraan jenayah Shahrir Samad bagi pertuduhan itu bermula pada 26 Julai 2022.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan bekas peguam negara (AG), Tommy Thomas membatalkan saman difailkan Shahrir Samad terhadapnya dan tiga lagi atas dakwaan melakukan pendakwaan berniat jahat.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan kes itu akan menjalani perbicaraan penuh selama tujuh hari dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Beliau turut menetapkan 11 Sept ini bagi pengurusan kes.

Perkara itu disahkan peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir ketika ditemui Bernama selepas prosiding dalam kamar.

Disember lepas, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu memfailkan saman yang menamakan Thomas, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.

Saman itu berkaitan sekeping cek RM1 juta diterima Shahrir daripada bekas perdana menteri, Najib Razak bagi kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Thomas, yang menjadi AG dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020, dalam afidavitnya menafikan dakwaan Shahrir terhadapnya, termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia “tidak boleh dipertahan.”

Beliau berkata, budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas pendakwa raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasat seperti SPRM.

Thomas berkata, beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2020 dan pada 26 Julai 2022, perbicaraan jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula.

Pada 5 Jan 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan ia tidak berhasrat meneruskan kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.