Model dwi rangkaian 5G: MNO hanya boleh berada dalam 1 entiti

Model dwi rangkaian 5G: MNO hanya boleh berada dalam 1 entiti

Pengendali rangkaian mudah ali hanya boleh berada dalam sama ada entiti A atau B dalam model dwi rangkaian 5G.

Dalam model dwi rangkaian 5G, pemenang tender akan menjual saham dalam DNB supaya menjadi dua entiti berbeza, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) hanya boleh memegang ekuiti dalam satu entiti bagi rangkaian 5G kedua di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata langkah itu untuk menjamin persaingan yang sihat antara kedua-dua entiti dalam membangunkan prasarana rangkaian 5G, selain dapat menyediakan perkhidmatan 5G yang berkualiti untuk rakyat.

“Mengikut perjanjian yang ditandatangani oleh MNO dan Digital Nasional Bhd (DNB), mereka bersetuju MNO hanya boleh berada dalam satu entiti, sama ada entiti A atau entiti B dalam model dwi rangkaian 5G.

“Selepas tempoh proses Pakej Maklumat Pemohon (AIP) tamat, sesiapa yang memenangi tender ini, mereka akan memimpin entiti B. Jika mereka yang tidak dipilih akan kekal berada di entiti A.

“Bagi mereka yang berada di entiti B, mereka akan menjual saham mereka dalam DNB supaya mereka akan menjadi dua entiti berbeza,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai sama ada kerajaan akan melarang syarikat telekomunikasi yang sama untuk memegang ekuiti dalam kedua-dua syarikat rangkaian 5G, untuk memastikan mereka bersaing dalam memberi perkhidmatan 5G yang pantas dengan harga yang paling murah.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarahkan untuk memulakan proses menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua, termasuk mengeluarkan AIP pada 1 Julai 2024.

Sebelum ini, empat MNO mengumumkan perjanjian langganan saham (SSA) dengan DNB dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dimuktamadkan selepas memenuhi semua syarat dalam SSA bersyarat.

YTL Power International Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, dan U Mobile Sdn Bhd menandatangani SSA bersyarat pada 1 Dis 2023, untuk membuka laluan peralihan kepada model rangkaian di borong (DWN) 5G.

Menjawab soalan Chong mengenai status pelaksanaan 5G dwi rangkaian dan pegangan ekuiti DNB yang akan dilepaskan kepada syarikat telekomunikasi, Teo berkata struktur pegangan saham dalam DNB bagi setiap pelabur akan diselaraskan kepada 30% (MoF Inc) dan 14% (setiap MNO).

Ini selepas Telekom Malaysia menyempurnakan perjanjian langganan saham bersama MoF Inc dan DNB pada atau sebelum 21 Ogos 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.