
Beliau berkata, keperluan itu bagi mengimbangi kepentingan perkongsian data dan hak seseorang individu terhadap data peribadi mereka.
“Pihak kementerian mengambil maklum akan keperluan perlindungan data peribadi daripada penyalahgunaan oleh mana-mana pihak semasa perkongsian data dijalankan antara agensi,” katanya di Dewan Rakyat.
Gobind menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang merujuk Seksyen 3 Akta Perlindungan Peribadi, dan ingin mengetahui adakah kerajaan bercadang memasukkan peruntukan itu daripada penyalahgunaan pihak kerajaan di dalam Akta Omnibus yang akan diperkenalkan kelak.
Mengulas lanjut, Gobind berkata rang undang-undang (RUU) yang berperanan mengawal selia perkongsian data antara agensi dalam sektor awam ketika ini masih di peringkat penggubalan draf.
“Walaupun agensi kerajaan dikecualikan daripada pemakaian Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) melalui rujukan kepada Seksyen 3 akta yang sama, pada masa ini, pegawai-pegawai awam adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan juga Peraturan-Peraturan Pegawai Awam sekiranya pegawai awam disabitkan dengan isu ketirisan semasa mengendalikan data peribadi,” katanya.
RUU itu sebahagian usaha Putrajaya mewujudkan pangkalan data utama (Padu), yang membolehkan perkongsian maklumat antara pelbagai agensi kerajaan.