6 penentang Bersatu yakin tiada PRK

6 penentang Bersatu yakin tiada PRK

Bagaimanapun Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman berkata mereka kekal sebagai wakil rakyat bebas dan hanya akan menyertai parti baharu selepas tamat penggal PRU15.

5mp
Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman (tengah) pada sidang media di lobi Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang terlucut keahlian yakin tidak akan berlaku kekosongan kerusi seperti diramal pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman, yang mewakili kumpulan berkenaan mendakwa mereka tidak pernah keluar parti, yang membolehkan berlaku kekosongan kerusi mengikut Akta Anti Lompat Parti.

“Kami masih Ahli Parlimen yang sah dan tidak pernah meninggalkan parti yang kami sertai…kami dipecat dan untuk itu kami yakin kekal menjadi wakil rakyat dan tidak akan berlaku kekosongan.

“Status kami sekarang Ahli Parlimen bebas menyokong kerajaan, saya harap lepas ini tiada lagi spekulasi sebab di sana-sini orang meramalkan esok PRK esok PRK…tunggulah speaker umum,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Hadir sama lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan perpaduan iaitu Zahari Kechik (Jeli), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pada 24 Jun mengesahkan menerima notis daripada Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee dan akan membuat keputusan dalam 21 hari berhubung permohonan mengosongkan enam kerusi wakil rakyat menentang parti itu.

Suhaili berkata, pindaan Perlembagaan Bersatu pada Mac lalu juga disifatkan sebagai cubaan pucuk pimpinan Perikatan Nasional(PN) untuk menganiaya mereka melepaskan kerusi berkenaan.

“Pindaan Perlembagaan Bersatu hanya berkuatkuasa pada 1 April sedangkan kami menyatakan sokongan kepada PMX (Anwar Ibrahim) sebelum itu lagi.

“Ia dipinda dengan niat jahat untuk pastikan kemi berenam sebagai kambing hitam atau lebih jelas kami dianiaya pucuk pimpinan Bersatu dan PN hanya kerana kami memilih untuk mengutamakan rakyat daripada terus menyokong pembangkang yang tanpa henti menghentam kerajaan,” katanya.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu terhadap Perkara 10 yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak bertentangan arahan atau pendirian parti.

Jika itu berlaku, mereka perlu mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada PRK.

Suhaili berkata, mereka kekal sebagai Ahli Parlimen bebas dan hanya akan menyertai parti baharu selepas tamat penggal PRU15, iaitu berbaki tiga setengah tahun.

“Kita cukup arif dengan Akta Anti Lompat Parti bermakna andai kata kami berminat nak sertai mana-mana parti, ia mestilah selepas habis tempoh PRU15.

“Selepas itu baru kita putuskan mana nak pergi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.