
Menurut sumber, seorang pengerusi dan seorang pengarah syarikat subkontraktor ditahan semalam, ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
Katanya, pengerusi terbabit, yang bergelar Datuk, direman lima hari sehingga 6 Julai, manakala pengarah syarikat direman tiga hari sehingga 4 Julai, selepas perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
“Kedua-dua suspek disyaki telah memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebih raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain,” menurut sumber.
“Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan yang sama.”
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan semua suspek yang ditahan reman sebelum ini dilepaskan selepas tamat tempoh reman, termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya pada Isnin, dengan jaminan RM150,000.
Terdahulu, sembilan individu termasuk seorang CEO bergelar Datuk dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya ditahan dalam siasatan badan anti-rasuah itu.