Polis tahan 2 suspek pecah masuk rumah pemain Selangor FC

Polis tahan 2 suspek pecah masuk rumah pemain Selangor FC

Polis berkata siasatan mendapati suspek tiada kaitan dengan kes membabitkan beberapa pemain bola sepak sebelum ini.

khuzaimi
Rumah pemain pertahan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee dipecah masuk pada 22 Mei lalu dan penjenayah melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai RM15,000. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Polis menangkap dua lelaki kerana disyaki memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC Ahmad Khuzaimi Piee baru-baru ini, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

Hussein berkata, polis menangkap suspek yang berusia 28 dan 33 tahun, selepas mereka terbabit dalam satu kemalangan di Marang, Terengganu.

“Suspek ditangkap selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dijejak pasukan polis,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor.

Bagaimanapun, kata Hussein, siasatan mendapati kedua-dua suspek tersebut tidak mempunyai kaitan dengan beberapa kes membabitkan pemain bola sepak.

“Mereka tiada kaitan dengan kes lain, dan rumah yang mereka sasarkan hanyalah satu kebetulan,” katanya.

Katanya, dengan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan lapan lagi kes pecah rumah dan curi kenderaan di Selangor, Pahang dan Melaka.

Hussein berkata, reman suspek yang ditahan pada 26 Jun lalu sepatutnya tamat pada 30 Jun tetapi polis berjaya mendapatkan lanjutan perintah tahanan yang berakhir esok.

Pada 22 Mei lalu, kediaman Khuzaimi dipecah masuk menyebabkan beliau kehilangan barangan berharga bernilai RM15,000 termasuk sebuah motosikal Yamaha Y15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.