Belang harimau ‘lebih garang’ pada pakaian baharu kontinjen Olimpik

Belang harimau ‘lebih garang’ pada pakaian baharu kontinjen Olimpik

Rekaan baharu turut menonjolkan logo MOM dengan Jalur Gemilang dalam warna asli, kata Norza Zakaria.

mom
MOM memperkenalkan rekaan baharu menampilkan corak belang harimau yang ‘lebih garang’ bagi pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024. (Gambar MOM)
KUALA LUMPUR:
Rekaan baharu pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 menampilkan corak belang harimau ‘lebih garang’, menurut Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden MOM Norza Zakaria berkata, perubahan tersebut dilakukan susulan maklum balas terhadap reka bentuk dan motif sebelum ini yang dilihat tidak menyerlah.

Menurutnya, corak baharu yang dipilih berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang harimau berwarna kuning lebih jelas dan besar pada sebelah depan dan belakang jaket.

Rekaan kali ini turut menonjolkan logo MOM dengan Jalur Gemilang dalam warna asli, berbanding logo berwarna emas pada corak terdahulu, katanya.

“MOM merasakan reka corak baharu ini melambangkan semangat harimau yang sudah menjadi identiti kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Sukan SEA Manila pada 2005.

“Menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara ‘mengaum’ di kota Paris nanti,” katanya.

Norza berkata, corak dan motif lebih terang itu diharapkan bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen, malah lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian atlet berjuang atas nama negara.

Sementara itu, bagi rekaan kemeja-T berkolar berwarna emas, katanya, corak dan motif sama dikekalkan, tetapi dengan lakaran logo MOM dengan warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara.

Beliau turut memaklumkan, penaja pakaian rasmi kontinjen, Yonex Sunrise Malaysia telah memberi keizinan khas kepada badan induk itu untuk mencetak dan mengeluarkan jaket dengan fabrik daripada pengilang berbeza.

“Disebabkan faktor masa, MOM mendapat kebenaran daripada pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan pada kedua-dua jaket dan kemeja-T.

“Ini kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang,” katanya.

Norza turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Yonex yang sudah 10 tahun menjadi penaja pakaian rasmi kontinjen negara terutamanya atas kesediaan mereka membenarkan pakaian rasmi baharu dihasilkan menggunakan fabrik dan reka corak berbeza.

Beliau turut berharap agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 26 Julai ini hingga 11 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.