‘Kami tak bermewah dengan peruntukan PM’, kata Ahli Parlimen kerajaan

‘Kami tak bermewah dengan peruntukan PM’, kata Ahli Parlimen kerajaan

Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu berkata peruntukan itu digunakan untuk membantu rakyat dan membangunkan negara.

Aiman Athirah Sabu membidas wakil pembangkang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang membuat tuduhan tidak berasas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan berkata peruntukan yang diterima mereka daripada kerajaan bukan digunakan untuk bermewah-mewah.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu berkata, peruntukan yang diberikan itu digunakan untuk membantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi membangunkan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Bahkan (peruntukan ini) dipantau rapat oleh perdana menteri melalui satu sistem MyMP yang dibangunkan sejak kerajaan Madani mentadbir negara.

“Ahli Parlimen juga tidak semudah-mudahnya memohon peruntukan tambahan kerana perdana menteri sangat teliti memantau arah aliran peruntukan Ahli Parlimen kerajaan,” katanya di Facebook.

Beliau merujuk kenyataan Ahli Parlimen Machang daripada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa peruntukan yang sepatutnya pembangkang terima sebagai wakil rakyat sudah dilencongkan.

Wan Fayhsal semalam dilaporkan berkata peruntukan berkenaan dilencongkan dengan menyalurkannya kepada parti politik yang menyokong kerajaan selain mendakwa tiada audit dilakukan oleh penerima peruntukan itu.

Aiman Athirah yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata kenyataan Wan Fayhsal itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana beliau tahu peruntukan Ahli Parlimen adalah peruntukan daripada Anwar.

“Maka terpulang kepada perdana menteri untuk memberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang beliau percaya boleh membantu beliau membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat.

“Sebab itu berulang kali disebut jumpalah perdana menteri, berbincang dan dengarlah apa harapan dan nasihatnya, bukannya gunakan (isu) peruntukan itu untuk menyerang pentadbiran dan kepimpinan beliau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.