Jabatan Veterinar siasat kes lelaki pukul anjing di kondo Kajang

Jabatan Veterinar siasat kes lelaki pukul anjing di kondo Kajang

Ini menyusul klip video tular menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju berulang kali memukul muka anjing itu.

Shima Aris
Penyelamat bebas Shima Aris berkata husky itu kini dirawat doktor haiwan di klinik swasta dan tiada kesan luka kelihatan. (Gambar Instagram Shima Aris)
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki mendera anjing husky di sebuah kondominium di Kajang.

Jurucakap ibu pejabat DVS memberitahu FMT, beberapa laporan diterimanya dan maklumat berkaitan sudah disalurkan kepada pejabatnya di Selangor untuk siasatan lanjut.

Penyelamat bebas Shima Aris berkata video kejadian itu yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju menangkap anjing itu dan memukul mukanya berulang kali.

Katanya beliau bersama sekumpulan penyelamat ke kondominium itu untuk menuntut lelaki terbabit menyerahkan anjing berkenaan, yang dilakukannya dengan rela hati.

“Malangnya, masih ada seekor anjing,” katanya kepada FMT merujuk anjing Pomeranian yang turut dilihat dalam video itu.

“Saya tak dapat (bawa Pomeranian itu bersama saya) kerana tiada bukti (pemilik) memukul anjing berkenaan.”

Beliau berkata husky itu kini dirawat doktor haiwan di klinik swasta dan tiada kesan luka kelihatan.

“Kami tidak boleh melakukan pemeriksaan menyeluruh (kerana anjing itu) terlalu takut,” katanya sambil menambah anjing berkenaan akan membuang air kecil apabila penyelamat menyentuhnya.

FMT sudah menghubungi polis Kajang untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.