Bertrand, Nur Shazrin bawa Jalur Gemilang Olimpik Paris

Bertrand, Nur Shazrin bawa Jalur Gemilang Olimpik Paris

MOM memilih atlet terjun Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif membawa bendera pada perasmian 26 Julai nanti.

Bertrand Rhodict Lises (kiri) akan membuat penampilan sulung Olimpiknya di Paris, manakala Nur Shazrin Mohamad Latif menyertai temasya sukan dunia itu buat kali ketiga.
PETALING JAYA:
Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif diberi pengiktirafan membawa Jalur Gemilang ketika upacara perasmian temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria berkata, kedua-dua atlet dipilih mewakili anggota kontinjen negara itu terdiri daripada atlet yang membuat penampilan sulung dan yang berpengalaman di pentas Olimpik.

“Selepas meneliti atlet yang disenarai pendek dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk jadual pertandingan, Lembaga Eksekutif memilih Bertrand dan Nur Shazrin untuk membawa Jalur Gemilang semasa perarakan atlet.

“Walaupun Bertrand dipilih berdasarkan penampilan sulung, Nur Shazrin ialah atlet berpengalaman yang akan membuat penampilan ketiganya,” katanya, lapor Bernama.

Anak Sarawak, Bertrand, 19, ialah atlet negara pertama yang layak secara merit ke Paris pada Julai tahun lepas .

Beliau menjadi atlet Sarawak keempat diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang di pentas Olimpik, selepas atlet olahraga Kuda Ditta (Rome 1960), penerjun Bryan Nickson Lomas (Athens 2004) dan ratu terjun negara Pandelela Rinong di London pada edisi 2012.

Kedua-duanya cemerlang pada Sukan Asia Hangzhou 2022 yang diadakan tahun lepas setelah Bertrand meraih pingat gangsa 10m platform seirama, manakala Nur Shazrin pula meraih emas dalam acara dinghy, yang melayakkannya ke Paris.

Atlet Johor, Nur Shazrin, yang membuat penampilan ketiganya di pentas Olimpik selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020, merupakan pelayar pertama diberi penghormatan membawa bendera pada majlis perasmian.

Upacara perasmian dijadual diadakan di Sungai Seine dengan bot membawa para atlet bagi setiap delegasi negara.

Perarakan itu akan sampai ke penghujung laluannya sejauh 6km di hadapan Trocadéro, di mana unsur-unsur protokol Olimpik dan pertunjukan akhir bakal berlangsung.

Setakat hari ini, kontinjen Malaysia dibarisi 25 atlet daripada lapan sukan, iaitu memanah, badminton, akuatik, berbasikal, menembak, golf, pelayaran dan angkat berat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.