
Beliau berkata, kebanyakan individu memohon kerakyatan untuk layak mendapatkan bantuan kerajaan.
Daripada 1,041 pemohon warga emas, katanya, 144 gagal ujian itu.
“Kami benarkan mereka mengulangi proses itu. Kebajikan dan bantuan yang mereka mahukan. Mereka kata mahu mati sebagai warganegara Malaysia,” katanya di Parlimen.
Menurutnya, bahasa formal tidak lagi digunakan dalam temu duga dan ahli panel kini berbual santai dalam bahasa Melayu dengan pemohon warga emas.
“Proses temu duga tidak lagi menggunakan bahasa formal seperti: ‘Puan, bolehkah puan terangkan latar belakang puan?’
“Sekarang, panel temu duga hanya berbual dengan mereka. ‘Puan, pagi ni dah makan? Puan datang dengan siapa?’
“Kemudian kami tunjukkan gambar KLCC, sambutan Deepavali, tarian singa, muruku, sate kepada mereka.”
Saifuddin berkata, pemohon perlu menjawab soalan dalam bahasa Melayu, contohnya ‘muruku ialah apa yang anda makan semasa Deepavali’.
“Inilah cara kami memudahkan proses untuk mereka yang berumur 70 tahun ke atas,” katanya sambil menambah kementeriannya menyasarkan 17,000 permohonan kerakyatan diselesaikan tahun ini berbanding sasaran tahun lepas 10,000.
Beliau berkata, sebanyak 8,805 permohonan kewarganegaraan sudah selesai setakat ini.
Mac lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, ada keperluan melatih semula pegawai JPN dan mencadangkan temuduga untuk warga emas dilakukan secara berkumpulan, bukannya secara individu.
“Cara olahan soalan juga penting seperti berbanding meminta pemohon nyatakan tujuan ingin memohon kerakyatan negara ini, kita olah pertanyaan itu secara lembut dengan pertanyaan kenapa pemohon hendak dapatkan kad pengenalan warna biru,” katanya pada 4 Mac lalu.
Pada 23 Okt lalu, Saifuddin berkata, ujian penguasaan bahasa Melayu dikenal pasti antara punca kebanyakan warga emas gagal dalam permohonan kewarganegaraan Malaysia.