Undang-undang sebat sukarkan ratifikasi konvensyen PBB

Undang-undang sebat sukarkan ratifikasi konvensyen PBB

Singapura dan Brunei juga tidak menandatangani Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah.

Gavel
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah menghendaki undang-undang negara tiada elemen menyebabkan kesakitan teruk. (Gambar Pexelpic)
KUALA LUMPUR:
Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) kerana ia boleh menyebabkan pindaan kepada akta sedia ada di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata konvensyen itu menghendaki undang-undang negara tidak mempunyai elemen yang menyebabkan kesakitan teruk.

“Alasan kita tidak meratifikasi UNCAT kerana ada seksyen tertentu yang jelas menyebut undang-undang negara kita tak boleh ada elemen menyebabkan kesakitan teruk, sedangkan akta kita ada sebatan, Mahkamah Syariah pun ada sebatan.

“Kalau kita tandatangan UNCAT, maknanya akta sedia ada kita kena pinda dan (terpaksa lakukan) banyak perkara lain,” katanya pada sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2021 serta 2022 di Dewan Rakyat.

Setakat ini, menurutnya, negara jiran seperti Singapura dan Brunei juga tidak menandatangani konvensyen itu.

Beliau berkata, tiga pusingan rundingan berkaitan perkongsian data sudah diadakan dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan proses itu masih berjalan sebagai usaha mengharmonikan beberapa aspek.

Satu daripada rundingan itu berlangsung di New York pada September 2023 serta dua lagi di Kuala Lumpur, manakala semua parameter perbincangan kerjasama perkongsian data sudah disampaikan kepada UNHCR dan sebagai maklum balas, badan dunia itu mahu pegawai Malaysia melalui proses latihan hak asasi manusia.

“Di pihak kita juga melihat perlu ada modifikasi, acuan yang mengikut perspektif kita. Jadi, kita sedang harmonikan perkara ini.”

Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin pula berkata, kerajaan memberi jaminan sebarang keputusan menyertai atau meratifikasi instrumen antarabangsa berkaitan hak asasi manusia tidak akan bercanggah Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang sivil, syariah dan adat terpakai di Malaysia.

“Saya ingin tegaskan kepentingan dan keperluan kerajaan mengambil langkah sewajarnya sebelum meraktifikasi sebarang triti hak asasi manusia,” katanya semasa menggulung perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam 2021 serta 2022 bagi Kementerian Luar.

Suhakam dalam laporan itu menggesa kerajaan mempertimbangkan penarikan balik reservasi serta meratifikasi Protokol Pilihan terkandung dalam Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.