Ketat saringan majikan jika mahu naik Tahap 1 TIP, gesa aktivis

Ketat saringan majikan jika mahu naik Tahap 1 TIP, gesa aktivis

Turut digesa tiada diskriminasi pekerja dari segi dasar, peraturan, perlindungan sosial, serta akses mendapatkan keadilan.

Pekerja asing
Malaysia berpeluang perbaiki kedudukan dalam Laporan TIP menerusi saringan ketat ke atas majikan dan tiada diskriminasi pekerja.
PETALING JAYA:
Saringan ketat perlu dilaksanakan ke atas majikan yang ingin membawa masuk dan menggaji pekerja asing bagi mengelakkan eksploitasi dan penindasan tenaga kerja asing, kata aktivis pertubuhan bukan kerajaan berkaitan buruh.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Hishamuddin Hashim, berkata aduan sering diterima berkaitan pekerja asing tidak diberi pekerjaan apabila sudah berada di sini atau tidak dibayar gaji.

“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), dan imigresen perlu sediakan saringan ketat supaya tiada kelulusan diberikan kepada mana-mana syarikat yang menggaji pekerja asing tetapi tidak mempunya kerja untuk mereka.

“Syarikat seperti ini tidak harus diberi kebenaran untuk mengeluarkan pas lawatan kerja sementara,” katanya kepada FMT.

Dengan menambahbaik sistem saringan, Hishamuddin yakin Malaysia mempunyai peluang untuk memperbaiki kedudukan daripada Tahap 2 kepada Tahap 1 dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat.

“Aduan seperti ini sebabkan rating Malaysia gagal ditingkatkan lagi kerana ada unsur penindasan pekerja asing kerana mereka dibawa masuk syarikat yang tidak berupaya membayar gaji dan tidak mempunyai kerja,” katanya.

Laporan TIP ialah penilaian tahunan yang menilai trend pemerdagangan global, memfokuskan usaha kerajaan dalam pendakwaan, perlindungan dan pencegahan merangkumi empat kategori iaitu Tahap 1, Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian dan Tahap 3.

Malaysia naik satu tahap berbanding tahun lalu, dari Tahap 2 Pemerhatian ke Tahap 2. Penurunan tahap membawa risiko terhadap eksport negara berpotensi disekat.

Hishamuddin berkata kebanyakan aduan membabitkan pekerja asing daripada Bangladesh.

“Ambil tindakan tegas kepada syarikat berjaya bawa masuk pekerja asing tapi gagal bayar gaji. Kenakan tindakan tegas supaya mereka dapat di bawa ke muka pengadilan. Itu sekaligus dapat memperbaiki ranking Malaysia ke Tahap 1,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif North-South Initiative, Adrian Pereira, berkata diskriminasi sifar semua pekerja akan menaikkan kedudukan Malaysia ke Tahap 1.

Beliau mendakwa Laporan TIP mendedahkan terdapat banyak kekurangan dalam aspek akses pekerja asing mendapatkan keadilan sosial, yang menurutnya seperti tidak dititikberatkan sejak 30 tahun lalu.

“Kita perlu memastikan tiada diskriminasi antara pekerja asing dan pekerja Malaysia dari segi dasar, peraturan, perlindungan sosial, termasuk juga akses mendapatkan keadilan,” katanya.

“Ini bagi memastikan tiada mana-mana pihak berupaya mengambil kesempatan terhadap apa sahaja kekurangan dan perbezaan bagi mengelak berlakunya keadaan pekerja asing menjadi buruh paksa.”

Menteri Sumber Manusia Steven Sim baru-baru ini mengumumkan kementerian sedang menambahbaik protokol penerimaan aduan oleh pekerja khususnya melibatkan warga asing dalam usaha memperbaiki isu perburuhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.