Festival Good Vibes batal, hormat pertabalan Agong

Festival Good Vibes batal, hormat pertabalan Agong

Pihak berkuasa nasihat pinda tarikh baru namun penganjur ambil keputusan batal festival.

Festival Good Vibes pada mulanya dijadual berlangsung pada 20 dan 21 Julai di Resorts World Awana, Genting Highlands. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Good Vibes Festival (GVF) yang dijadual berlangsung pada 20 dan 21 Julai dibatalkan bagi menghormati Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.

Future Sound Asia berkata, Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), memaklumkan penganjur dinasihat tidak mengadakan sebarang konsert melibatkan artis luar negara pada 20 Julai.

“Susulan sifat GVF yang melibatkan pelbagai jelajah selama beberapa hari, penjadualan semula festival tidak mungkin dapat dilakukan. Justeru, Future Sound Asia mengumumkan pembatalan festival berkenaan.

“Semua pembeli tiket GVF secara automatik akan menerima bayaran balik penuh menerusi kaedah pembayaran digunakan ketika pembelian,” katanya dalam kenyataan.

GVF dijadual berlangsung di Resorts World Awana, Genting Highlands.

Dalam pada itu, Puspal dalam kenyataan berkata pihak penganjur dinasihatkan tidak mengadakan konsert melibatkan artis luar negara (ALN) pada 20 Julai sebagai menghormati istiadat pertabalan Sultan Ibrahim.

Katanya, penganjur konsert terlibat dinasihat meminda tarikh baru bersesuaian seperti ditetapkan dalam Garis Panduan Puspal (GPP).

“Puspal dianggotai 16 jabatan dan agensi kerajaan telah menerima sebanyak lima permohonan penganjuran konsert melibatkan ALN pada 20 Julai 2024.

“Sehubungan dengan itu, pihak penganjur dinasihat untuk tidak mengadakan konsert ALN pada tarikh 20 Julai 2024 sebagai menghormati Istiadat Pertabalan Agong ke-17,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, cadangan perubahan tarikh itu juga selaras GPP perkara 16.1(f) mengenai tempoh larangan mengadakan persembahan konsert artis luar negara dan persembahan luar negara berskala besar, pada hari diputuskan tidak sesuai oleh kerajaan atau kerajaan negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.