Sultan harap kerajaan pusat lulus insentif RM200 juta buat Kedah

Sultan harap kerajaan pusat lulus insentif RM200 juta buat Kedah

Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah ia mekanisme timbal balik ambil kira negeri itu kekalkan 113,000 hektar kawasan padi.

Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut zahir penghargaan ke atas keprihatinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim basmi miskin tegar di negeri baginda. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berharap senarai ‘wishlist’ projek-projek pembangunan di Kedah mendapat perhatian dan diambil tindakan segera oleh kerajaan persekutuan.

Baginda bertitah, ia bagi memastikan usaha kerajaan negeri mensejahterakan rakyat dan meningkatkan taraf ekonomi negeri dapat dilaksanakan, terutamanya melalui permintaan insentif fiskal pengekalan kawasan jelapang padi.

“Seperti mana beta disembah maklum, menteri besar (Sanusi Nor) telah membentangkan, senarai ‘wishlist’ projek-projek pembangunan di negeri Kedah, kepada yang amat berhormat perdana menteri dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah, pada 4 Mei yang lalu.

“Beta menghargai keprihatinan yang amat berhormat perdana menteri, terutamanya tentang kemiskinan tegar berjumlah 1,750 keluarga di negeri Kedah, untuk disantuni dalam tempoh yang singkat.

“Beta disembah maklum yang sehingga kini, ia telah berjaya dikurangkan sebanyak 77%, kepada 404 keluarga,” titah Sultan Sallehuddin pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang Ke-82 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit.

Turut berangkat ke istiadat itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Hadir sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor serta barisan exco.

Sultan Sallehuddin bertitah, baginda begitu mengharapkan keprihatinan perdana menteri dan kerajaan persekutuan untuk meluluskan permintaan insentif fiskal RM200 juta kepada kerajaan Kedah.

Titah baginda ia merupakan satu mekanisme timbal balik, memandangkan Kedah mengekalkan 113,000 hektar kawasan penanaman padi yang menyumbang 43% kepada tahap sara diri beras negara.

“Melalui insentif ini, kerajaan beta dapat menyediakan program bantuan kepada golongan miskin seperti dalam kalangan keluarga petani dengan membantu anggota isi rumah menambah pendapatan keluarga, menyediakan bantuan pendidikan yang lebih sempurna serta melengkapkan keperluan asas dan akhirnya membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan hidup,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan yang telah berusaha sebaik mungkin menyediakan pelbagai inisiatif bagi menangani soal kemiskinan yang turut dimanfaatkan rakyat Kedah.

Baginda juga yakin usaha menteri besar Kedah bersama barisan kepimpinan negeri mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan adalah satu langkah yang amat bijak.

Baginda bertitah ia memandangkan hampir 50% kawasan di Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City, masing-masing diterajui oleh anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan iaitu Northern Gateway Sdn Bhd (NGX) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.

“Dari perspektif ekonomi serantau, beta turut disembah maklum tentang kerancakan pembangunan bandar sempadan di antara Malaysia dan Thailand melibatkan daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Ia termasuk pembinaan jalan raya yang menghubungkan antara Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan ICQ Sadao,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut menyentuh mengenai pencapaian pelaburan dan ekonomi Kedah yang memberangsangkan iaitu melebihi RM100 bilion dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 dan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang bermula sejak 2021.

Baginda bertitah pencapaian itu membuktikan bahawa Kedah amat berpotensi menarik pelabur mengembangkan perniagaan mereka di negeri ini.

“Prinsip ‘kemudahan menjalankan perniagaan’ yang diketengahkan oleh kerajaan beta, seperti permit pembinaan ekspres E10, dan proses ubah jenis kegunaan tanah, yang pantas turut menjadi tarikan utama para pelabur, memilih negeri Kedah sebagai destinasi pelaburan,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.