Lesen syarikat pelancongan akan digantung sementara

Lesen syarikat pelancongan akan digantung sementara

Tiong King Sing berkata tindakan itu diambil sementara menunggu laporan penuh siasatan kemalangan bas ekspres di Kilometer (KM) 16.5 jalan turun Genting Highlands, semalam.

bas terbabas
Dua warga China maut dalam kemalangan bas persiaran di Kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands, semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menggantung sementara lesen operasi syarikat pelancongan terbabit kemalangan bas persiaran mengorbankan dua warga China di Kilometer (KM) 16.5 jalan turun Genting Highlands, semalam.

Menterinya Tiong King Sing berkata tindakan itu diambil sementara menunggu laporan penuh siasatan kes kemalangan yang turut menyebabkan 13 pelancong cedera.

Menurutnya, siasatan membabitkan status syarikat itu yang difahamkan mempunyai ‘subline’ (pihak ketiga) selain aduan berhubung keadaan bas itu tidak diselenggara kerana mengeluarkan bunyi bising serta tiada penyaman udara.

“Mereka datang enam hari lima malam dan bas tukar sebanyak tiga kali, ini membuktikan bas tidak diselenggara dengan baik.

“Itulah sebabnya saya sentiasa beritahu semua syarikat pelancongan mesti bersedia menerima pelancong dari luar negara,” katanya menurut Harian Metro selepas melawat mangsa kemalangan bersama Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yuging di Hospital Kuala Lumpur.

Tegasnya, pihaknya akan membatalkan lesen syarikat terbabit jika siasatan mendapati wujud kesalahan.

Sementara itu, Tiong berkata satu mesyuarat khas bersama Kementerian Pengangkutan akan diadakan Selasa ini untuk membincangkan siasatan kes selain SOP membabitkan syarikat pelancongan dan bas persiaran.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi tadi, bas persiaran itu dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke ibu negara di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

Siasatan polis mendapati pemandu berusia 32 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu dan dikenakan 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

Polis menahan reman pemandu terbabit selama empat hari untuk proses siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.