Terengganu belum terima royalti minyak lebih RM1 bilion, kata MB

Terengganu belum terima royalti minyak lebih RM1 bilion, kata MB

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri tidak tahu alasan Putrajaya gagal membayar tunggakan terbabit.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim saling berbalas kenyataan berhubung isu royalti minyak. (Facebook Ahmad Samsuri Mokhtar)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri akan terus berusaha menuntut baki pembayaran royalti minyak atau wang ihsan dianggarkan mencecah lebih RM1 bilion.

Beliau berkata ia termasuk baki kira-kira RM700 juta yang belum dilunaskan kerajaan persekutuan dari tahun lalu yang dianggarkan berdasarkan program serta keperluan kerajaan dari semasa ke semasa.

“Saya pun tak faham, tidak ada alasan (dan) bagi kerajaan negeri, kita tidak ada (dan) tak faham sebenarnya apa alasannya. Itulah keadaan sekarang ini dan kita akan berusaha (untuk dapatkan wang royalti itu),” katanya selepas satu program di Terengganu, menurut Berita Harian.

Pada sidang DUN Terengganu tahun lalu, Samsuri membangkitkan bahawa kerajaan negeri masih belum menerima anggaran RM1 bilion wang royalti minyak yang sepatutnya diterima pada 2023 daripada kerajaan persekutuan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kempen PRK Kemaman menjelaskan wang ihsan royalti petroleum tetap dinikmati rakyat Terengganu namun disalurkan secara terus menerusi projek kesejahteraan penduduk tanpa melalui kerajaan negeri.

Mac lalu, Samsuri meminta penjelasan daripada Putrajaya dan menyifatkan tindakan melewatkan pembayaran wang royalti kepada kerajaan Terengganu merupakan penindasan.

Anwar yang juga menteri kewangan dalam penjelasannya berkata pentadbirannya menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.55 bilion untuk pembangunan di Terengganu tahun lalu walaupun royalti petroleum hanya RM786 juta.

Malah katanya perbelanjaan pembangunan untuk negeri ditadbir PAS itu meningkat kepada RM1.59 bilion tahun ini.

Jumlah royalti petroleum Terengganu juga bertambah semasa pentadbirannya berbanding ketika PAS dan Bersatu berada dalam kerajaan iaitu hanya RM399 juta pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.