
Atalia Mae Albert Jaua menulis surat terbuka kepada Anwar memintanya menarik balik pengharaman ke atas buku ‘The Golden Son of the Kadazan’ sejak 1978 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan.
Beliau berkata, pengarangnya iaitu mendiang Bernard Sta Maria menulis buku itu bagi memperincikan perjuangan Mojuntin bagi hak rakyat Sabah dan pembebasan negeri itu daripada penjajahan British.
“Buku itu diharamkan kerana mengkritik dasar dan sikap kerajaan persekutuan terhadap Sabah ketika itu. Buku berkenaan diharamkan di bawah ISA pada tahun ia diterbitkan.
“Tetapi, pengharaman buku itu tidak ditarik balik selepas ISA dimansuhkan dan kini larangan itu di bawah undang-undang keselamatan Sosma,” katanya.
Datuknya ialah pemimpin Kadazan serta menteri perumahan dan kerajaan tempatan Sabah ketika meninggal dunia. Menurut beliau, datuknya amat mengambil berat tentang rakyat Sabah dan sedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, asalkan ia berlaku adil.
Dalam suratnya kepada Anwar, katanya, kegagalan menarik balik pengharaman itu akan menjejaskan komitmen kerajaan terhadap kebebasan bersuara dan mewujudkan persepsi penapisan oleh kerajaan.
“Keputusan anda berpotensi merapatkan perpecahan, memulihkan rungutan dahulu, dan mengukuhkan kepercayaan antara kerajaan serta rakyat Sabah. Saya sangat berharap anda akan memperingati Peter Mojuntin dan perjuangannya demi keadilan dengan membenarkan kisahnya dibaca dan difahami secara bebas oleh generasi akan datang.”
Buku tulisan Bernard, ahli DAP dan bekas Adun Banda Hilir itu disifatkan ancaman kepada kepentingan dan keselamatan negara oleh Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi pada 2015.
Zahid dilaporkan berkata, ia mengandungi kritikan keterlaluan terhadap Putrajaya dan mendatangkan bahaya kepada keharmonian agama antara umat Islam serta penganut Kristian.
Pada April 2023, veteran DAP, Lim Kit Siang, menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menarik balik pengharaman itu memandangkan laporan siasatan nahas udara ‘Double Six’ sudah dinyahklasifikasikan.
Selain mengetengahkan perjalanan Mojuntin sebagai ahli politik Kadazan, ia turut menceritakan apa yang berlaku pada tahun sebelum nahas udara itu berlaku, yang mana beliau terkorban bersama ketua menteri ketika itu, Fuad Stephens, dan sembilan yang lain.