
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau menyerahkan kepada rakan lain dalam gabungan parti kerajaan perpaduan, termasuk Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang Mohamad Abdul Hamid, untuk membuat kerja di kawasan tersebut.
“Saya tak bertanding di Sungai Bakap, saya tak pergi pun Sungai Bakap. Saya tumpu masalah ekonomi, bangunkan rakyat, tak ambil gaji. Saya tidak pergi Sungai Bakap sebab saya fikir saya kena terus bekerja.
“Petang ini kita jumpa Jawatankuasa Pemandu Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), pegawai-pegawai daerah dan lain-lain untuk bincang pembangunan projek-projek Bumiputera Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Madani Pulau Pinang, di Dewan Konvensyen Seberang Perai (SP) Arena, Seberang Jaya, menurut Bernama.
Presiden PKR meminta rakan dalam parti dan semua pihak, memahami keadaannya yang tidak turun berkempen membantu calon PH Joohari Ariffin pada PRK DUN Sungai Bakap, yang memasuki hari kelapan.
Anwar berkata, beliau juga sudah berpesan kepada semua pihak bawah kerajaan perpaduan, tidak berlawan dengan ‘makian’ dilemparkan pembangkang, sebaliknya menjelaskan apa dilakukan kerajaan bagi kebaikan rakyat dan negara, dalam kempen PRK Sungai Bakap.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari daripada PKR dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun hingga 11.59 malam, 5 Julai.