Tangguh rangkaian 5G kedua kerana risiko ‘konflik kepentingan’, gesa Ahli Parlimen

Tangguh rangkaian 5G kedua kerana risiko ‘konflik kepentingan’, gesa Ahli Parlimen

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan tiga sebab akan berlaku konflik kepentingan membabitkan telco dan DNB.

pesal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengingatkan kerajaan mengenai peranannya melindungi perniagaan dan pengguna dengan mengawal selia persaingan yang adil.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan agar menangguhkan rancangan membangunkan rangkaian 5G kedua atas kebimbangan wujudnya konflik kepentingan dalam kalangan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dan Digital Nasional Berhad (DNB).

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Putrajaya mensyaratkan agar syarikat telekomunikasi yang bersaing untuk menjadi pemaju rangkaian 5G kedua mesti mempunyai kepentingan dalam DNB, iaitu pemilik rangkaian 5G pertama negara.

Baru-baru ini, syarikat-syarikat seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications mengesahkan mereka berjaya memenuhi semua syarat perjanjian langganan saham (SSA) untuk membolehkan mereka memperoleh 70% pegangan kolektif dalam DNB.

Beberapa hari lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan proses mengenal pasti dan melantik MNO untuk membangunkan rangkaian kedua.

Fahmi berkata, SKMM akan mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon (AIP) pada 1 Julai.

Wan Fayhsal berkata, sesuatu yang ‘mengejutkan’ apabila syarikat telekomunikasi yang memperoleh kepentingan dalam DNB kini akan dibenarkan memohon untuk dilantik membangunkan rangkaian 5G kedua.

Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, jelas wujud konflik kepentingan di pihak pemohon yang berjaya atas sekurang-kurangnya tiga sebab.

Pertama, katanya, dengan penyertaan dalam DNB, pemohon akan mempunyai akses kepada pengetahuan dalaman tentang semua usaha wajar teknikal, kewangan dan undang-undang yang dijalankan ke atas DNB.

“Ini serta-merta memberikan mereka kelebihan yang tidak adil berbanding DNB,” katanya.

Beliau juga berkata, kehadiran wakil Maxis, CelcomDigi dan U Mobile dalam lembaga pengarah DNB bermakna mereka mempunyai akses kepada maklumat serta pengaruh dalam pengurusan DNB.

“Mereka akan dapat menggunakannya sebagai manfaat apabila membangunkan dan mengendalikan rangkaian kedua,” katanya.

Ketiga, memandangkan Maxis, CelcomDigi dan U Mobile secara kolektif mengawal 90% atau lebih pasaran pelanggan mudah alih Malaysia, pemohon yang berjaya akan berupaya menyalurkan pelanggan mereka ke rangkaian 5G kedua, mengatasi DNB, kata Wan Fayhsal.

“Sebagai pengawal selia, peranan kerajaan adalah untuk melindungi perniagaan dan pengguna dengan mengawal selia persaingan yang adil dan memastikan daya saing harga,” katanya.

Tambahnya, rancangan untuk membangunkan rangkaian 5G kedua mempunyai petanda ‘bencana dan kegagalan’.

Wan Fayhsal menyeru kerajaan agar menangguhkan rancangannya membangunkan rangkaian 5G kedua dan melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk orang ramai, untuk mencari penyelesaian yang terbaik dan paling bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.